Info Putra Heights 2016

England mula 'cakap besar'

LONDON - Perancang England, Frank Lampard percaya kemenangan 2-1 ke atas Brazil di Stadium Wembley awal pagi semalam membuktikan skuad kendalian Roy Hodgson itu akhirnya sudah cukup ampuh untuk memberi tentangan kepada pasukan-pasukan gergasi di dunia ini.
 
Selepas mempamerkan prestasi hambar ketika era Fabio Capello dan permainan berhati-hati pada awal bimbingan Hodgson, England akhirnya mencatat kemenangan pertama ke atas Brazil sejak 23 tahun hasil permainan corak serangan yang diterapkan skuad gabungan pemain muda dan veteran itu.
 
Dengan Steven Gerrard mengetuai jentera tengah, dua pemain muda - Jack Wilshere dan Tom Cleverley diberi peluang untuk naik membantu jentera serangan di belakang Wayne Rooney, manakala Theo Walcott dan Danny Welbeck menambahkan lagi ancaman England di bahagian sayap.
Ia satu gabungan yang menakjubkan dan sukar untuk dihadapi oleh Brazil terutamanya ketika Rooney membuka jaringan hasil serangan bertali arus yang melibatkan Wilshere dan Walcott.
Walaupun Brazil berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada babak kedua menerusi Fred, perancang Chelsea, Lampard pula muncul menghadiahkan kemenangan buat The Three Lions pada minit ke-60.
"Konsentrasi dan kerjasama di bahagian tengah di antara saya, Steven (Gerrard) dan Jack sangat hebat," jelas Lampard.
 
"Kami sangat berbahaya ketika naik menyerang dan kami juga memiliki kepantasan. Kalau kamu lihat kepada pasukan ini sekarang, kamu akan dapati ia lebih sedikit mengujakan.
"Kalau kamu lihat apa yang Theo lakukan ketika bertahan, apa yang Wayne dan Danny lakukan, kamu akan sedar bahawa kami mampu mengalahkan mana-mana pasukan.
"Daripada segi kerja berpasukan dan peluang yang kami cipta, jelas sekali kami lebih bagus daripada Brazil yang mempunyai pemain berkualiti."

0 Komentar untuk "England mula 'cakap besar'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top