Info Putra Heights 2016

Denda nikah tanpa izin

Kuala Lumpur: Seorang lelaki didenda RM600 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, selepas mengaku salah bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, tujuh tahun lalu.
Hakim Syarie Asrul Azlan Embong mengenakan denda itu terhadap pakar bedah Raja Badrul Hisham Raja Zezeman Shah pada 30 Januari lalu.

Dia juga berdepan hukuman penjara enam hari jika gagal membayar denda itu.
Isterinya Faizah Sidi, seorang suri rumah turut didenda RM500 selepas mengaku salah atas pertuduhan sama.

Faizah isteri Raja Badrul selepas dia menceraikan isterinya Malini Rais pada 10 Ogos 2011 dengan talak satu. Sekiranya gagal membayar denda, Faizah boleh dipenjara lima hari. Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan. Mereka didakwa berbuat akad nikah tanpa terlebih dulu mendapat kebenaran berkahwin daripada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagaimana diperuntukkan Seksyen 17 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Kesalahan dilakukan di rumah No 13, Villa Laman Tasik, Bandar Seri Permaisuri Cheras, pada 7 April 2006.
Raja Badrul didakwa mengikut Seksyen 133 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 kerana bersubahat dengan pasangan.

Manakala Faizah didakwa mengikut Seksyen 40(2) akta yang sama kesalahan berhubungan akad nikah perkahwinan. Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Mohd Yazid Ramli. Sementara itu, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah di sini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan hakim mahkamah rendah.
0 Komentar untuk "Denda nikah tanpa izin"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top