Info Putra Heights 2016

Dana SPP1M bantu pelajar - rm1 billion

PUTRAJAYA - Kerajaan memperkenalkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) dengan dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang memberi kemudahan pinjaman kewangan tambahan kepada golongan pelajar di peringkat pengajian tinggi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, ia merupakan satu lagi transformasi dalam pendidikan yang direalisasikan oleh kerajaan untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
 
Katanya, skim itu berperanan menyediakan pinjaman tambahan kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia ada untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang perubatan serta bidang-bidang kritikal.
"Yuran pengajian terutamanya bidang-bidang profesional dan kritikal di institusi pengajian tinggi swasta tempatan dan juga institusi pengajian tinggi di luar negara adalah tinggi.
 
"Walaupun dengan adanya pinjaman PTPTN, ramai pelajar terutamanya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana perlu mempunyai dana sendiri untuk menampung yuran pengajian anak mereka," katanya ketika berucap melancarkan skim itu di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.
 
Najib memberitahu, buat permulaan, pinjaman itu akan disediakan melalui dua institusi kewangan iaitu Maybank serta RHB Bank dengan kadar faedah pinjaman lebih rendah berbanding biasa.
Pelajar di universiti-universiti tempatan boleh mengemukakan permohonan untuk skim itu bermula April depan manakala mereka yang telah berada di luar negara boleh memohon pada Jun.
Pada tahun lalu, terdapat 943,548 pelajar melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi di negara ini manakala 89,686 pelajar lagi menuntut di luar negara.

0 Komentar untuk "Dana SPP1M bantu pelajar - rm1 billion"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top