Info Putra Heights 2016

ATM rampas pendahulu

KUALA LUMPUR - Takhta Liga Super kini menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menumbangkan pendahulu asal, Selangor dengan kemenangan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.Jaringan daripada dua pemain import, Bruno Martelotto pada minit ke-17 dan penalti di minit terakhir perlawanan oleh Marlon Alex James memastikan ATM mencipta sejarah tersendiri dengan kemenangan pertama ke atas Selangor sejak tahun 1985.
 
Bertambah malang buat Red Giants, mereka terpaksa menamatkan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain apabila Mohd. Raimi Mohd. Noor dilayangkan kad merah pada minit ke-82.
Kejayaan ATM naik dari tempat keempat ke tangga teratas turut dibantu dengan keputusan seri Johor Darul Takzim dan Lions XII yang terikat 2-2 di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunus, Larkin.
Hariss Harun membuka tirai jaringan pelawat pada minit ke-3 sebelum bekas pemain Lazio dari Itali, Simone Del Nero menyamakan kedudukan pada minit ke-11.
Namun, pertahanan tinggi lampai, Baihakki Khaizan, menambah gol kedua Lions XII dengan tandukan padu pada minit ke-37.
 
Norshahrul Idlan Talaha menyelamatkan maruah Johor apabila menjaringkan gol penyamaan sekali lagi pada minit ke-81.
Sementara itu, di Stadium TLDM, Lumut, Perak menghadiahkan Pahang kekalahan kali kedua berturut-turut dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan sendiri ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-42.
Keita Mandjou mengakhiri kemarau jaringan bersama pasukan Kelantan apabila membantu The Red Warriors meraih kemenangan kedua musim ini selepas meledak dua gol pada minit ke-32 dan 65 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi membenam cabaran pasukan jiran, Terengganu dengan keputusan 2-0.
 
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team dan Felda United berkongsi satu mata apabila seri 1-1.
Felda terlebih dahulu memecahkan kebuntuan pada minit keenam oleh Khairul Anuar Jamil tetapi Abdul Latif Suhaimi dapat memadamkan kelebihan pelawat pada minit ke-60.
PKNS pula kempunan meraih kemenangan apabila sekadar seri 2-2 berdepan Negeri Sembilan walaupun lawan beraksi dengan 10 pemain di Stadium Shah Alam.
Patrick Ronaldinho dan Mohd. Fauzan Duzulkifli menjadi penjaring gol PKNS pada minit ke-5, dan ke-26 sementara gol Negeri Sembilan disumbangkan Rashid Mahmud serta Shahurain Abu Samah, minit ke-11 dan 87.

0 Komentar untuk "ATM rampas pendahulu"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top