Info Putra Heights 2016

RTM akan siar maklumat lengkap mengenai Akta Perhimpunan Aman

PETALING JAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan memberi penjelasan lengkap mengenai kesalahan membawa atau merekrut kanak-kanak menyertai perhimpunan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz, berkata penjelasan itu akan dilakukan dalam masa terdekat menerusi radio, televisyen dan media baharu seperti facebook, twitter, laman web serta blog.
Katanya, orang ramai harus memahami peraturan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya apabila membabitkan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun menyertai perhimpunan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan babak pertama filem Tamil tempatan bertajuk 'Vetti Pasanga' terbitan Veedu Productions Sdn Bhd di Kuil Sri Srinivasa Perumal Devasthanam, Puchong dekat sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Mohan Kandasamy dan Ketua Pemuda MIC, T Mohan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Himpunan Shamsidar di Stadium Merdeka di ibu negara anjuran parti pembangkang pada 12 Januari lalu.

D'Cruz, yang juga Naib Presiden PPP, berkata tidak adil untuk menyalahkan peserta himpunan itu 100 peratus kerana pembangkang, selaku penganjur perhimpunan, tidak menasihati mereka (peserta himpunan) supaya tidak membawa bersama anak-anak berumur bawah 15 tahun.
"Pembangkang menggunakan pendekatan seperti apa yang berlaku di negara-negara Arab yang dinamakan Arab Spring atau kebangkitan negara Arab yang mahu menjatuhkan kerajaan menerusi kekerasan, dan antaranya ialah menerusi perhimpunan dan demonstrasi," katanya.

Peserta perhimpunan anjuran pembangkang itu bukan suara majoriti rakyat Malaysia dan mereka sebenarnya adalah penyokong tegar parti pembangkang dan golongan yang terpedaya dengan tipu helah pembangkang, katanya.

D'Cruz juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pembangkang bahawa media arus perdana bersikap berat terhadap mereka, dan berkata media arus perdana sentiasa melaporkan berita yang sebenar dan bukannya direka-reka.
0 Komentar untuk "RTM akan siar maklumat lengkap mengenai Akta Perhimpunan Aman"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top