Info Putra Heights 2016

Polis kesan penjenayah guna serbuk mi segera

Kepala Batas: Polis mengesahkan bahan yang digunakan sembilan penjenayah ketika melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada 7 Januari lalu adalah serbuk perencah mi segera.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar), berkata maklumat berkenaan diperoleh hasil soal siasat terhadap tahanan yang berjaya ditahan semula sebelum ini.
"Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap tahanan memang mereka akui serbuk perencah mi segera itu diambil dari penjara.


Usaha kesan individu bantu tahanan

"Justeru, kita akan adakan perbincangan dua pihak dengan penjara (Pulau Pinang) untuk selesaikan masalah ini," katanya selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Pulau Pinang Bersama Petugas Ops Kesan Gelugor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Utara, di sini, semalam.

Beliau berkata polis juga masih berusaha mengesan individu yang membantu tahanan itu melarikan diri mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi 7 Januari lalu, sembilan tahanan dilaporkan membaling serbuk cili ke muka polis pengiring sebelum membelasah mereka dan melarikan van yang membawa mereka ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Sesyen Butterworth.
Penjenayah dikesan

Dua daripada mereka berjaya ditahan semula pada hari kejadian, dua ditembak mati pada 10 Januari lalu, manakala tiga ditahan kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahim berkata dua penjenayah yang masih bebas, Hiss Ham Abdul Rahman, 39 dan Hamzani Harun, 37, dikesan di sekitar Kampung Pelet, Bukit Mertajam, petang kelmarin.

Katanya, dua tahanan terbabit dilihat di kawasan itu oleh orang kampung sekitar jam 5.30 petang ketika membeli makanan.

Bagaimanapun, katanya, polis yang bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat gagal mengesan mereka yang dipercayai lari ke kawasan hutan berhampiran.

Katanya, kedua-dua tahanan tidak berpecah, sebaliknya bergerak bersama berjalan kaki.

"Hasil maklumat diterima, mereka masih berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan bagi meminta bantuan makanan dan duit.

"Justeru, saya menasihati keluarga (tahanan) supaya menghubungi balai polis berhampiran sekiranya mereka dihubungi," katanya.
0 Komentar untuk "Polis kesan penjenayah guna serbuk mi segera"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top