Info Putra Heights 2016

Pertabalan Agong di Discovery Channel

Malaysia tidak dinafikan merupakan antara salah satu negara yang semakin pesat membangun di benua Asia di mana dalam masa yang sama, negara ini masih mengekalkan ciri-ciri budaya yang telah bertahan ratusan tahun lamanya.Sungguhpun terdapat banyak negara lain di dunia ini yang turut mengamalkan sistem beraja, tetapi uniknya, masyarakat berpeluang melihat individu sama menaiki takhta dan bergelar raja buat kali kedua dalam sejarah Raja Berperlembagaan di Malaysia.
 
Pertama kali ditayangkan, dokumentari berjudul Revealed: Malaysias Majesty - Twice A King ini bakal menyingkap majlis bersejarah yang menyaksikan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ditabalkan selaku Yang Di-Pertuan Agong ke-14 negara ini.
Istiadat pertabalan yang berlangsung di Istana Negara pada 11 April 2012 yang lalu itu turut menyaksikan seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terlibat dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara.
Dokumentari ini juga bakal menyingkap majlis gilang gemilang yang melibatkan adat budaya dan simbol-simbol diraja yang terdapat di negara dengan kepadatan kira-kira 28 juta penduduk ini.
Selain memaparkan gambaran berlangsungnya majlis rasmi tersebut, dokumentari ini juga bakal mengupas hubung kait Sultan Abdul Halim dengan masyarakat dan rakyat baginda di negeri Kedah yang berada di utara Malaysia.
 
Selain gambar-gambar eksklusif sewaktu berlangsung majlis tersebut, ia juga bakal menyingkap sedikit sebanyak sejarah 41 tahun dahulu sewaktu baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong buat kali pertama.
Dokumentari ini juga bakal menjelaskan bagaimana dalam sebuah negara yang semakin berkembang pesat dan membangun masih menjunjung tinggi segala adat dan budaya yang telah bermula sejak dahulu lagi.
Dokumentari ini dapat disaksikan bermula pukul 9 malam ini melalui Discovery Channel (Astro 551) dengan siaran ulangan pada hari esok, pukul 2 petang

0 Komentar untuk "Pertabalan Agong di Discovery Channel"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top