Info Putra Heights 2016

Naza buka pusat Harley-Davidson terpakai

Naza Prestige Bikes Sdn Bhd melancarkan Pusat Motosikal Terpakai Harley-Davidson dengan sasaran menjual 200 unit motosikal berkuasa tinggi terpakai jenama mewah itu tahun ini.

Pusat jualan membabitkan pelaburan kira-kira RM500,000 itu terletak bersebelahan gedung pameran kenderaan syarikat itu, Naza Automall di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya.
Naib Presiden, Naza Two Wheel Division, Nik Danial Nik Mahmood, berkata penawaran motosikal terpakai jenama mewah terkemuka itu adalah sebahagian daripada rancangan syarikat itu untuk meningkatkan jualan bagi pasaran Malaysia.

Katanya, secara purata motosikal terpakai Harley-Davidson yang ditawarkan syarikat di pusat berkenaan adalah antara RM20,000 hingga RM25,000 lebih rendah berbanding yang baru.

"Saya yakin pusat ini akan meningkatkan lagi pemilik motosikal Harley-Davidson di negara ini, selain menawarkan peluang kepada pemilik motosikal Harley-Davidson sedia ada menaik taraf motosikal mereka kepada model yang lebih tinggi melalui tawaran harga lebih rendah.

"Walaupun motosikal yang ditawarkan terpakai, kami menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan percuma selama lima tahun selain jaminan selama dua tahun," katanya selepas pelancaran pusat itu semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin.
Nik Danial berkata, motosikal Harley-Davidson terpakai yang dijual di pusat itu mempunyai kadar perbatuan yang rendah, selain sudah disesuaikan dengan keadaan di Malaysia serta dilakukan beberapa naik taraf.

"Motosikal ini terdiri daripada unit tukar-beli serta unit pameran yang belum didaftarkan yang digunakan untuk tujuan promosi," katanya.

Antara model motosikal Harley-Davidson terpakai yang ditawarkan di pusat itu termasuk Sportster 48, Sportster XR, Dyna Wide Glide, Softail Fatboy, VROD 105 Anniversary Edition, VROD Nightrod dan CVO Ultra Classic.

Nik Danial berkata, syarikat itu turut mempunyai rancangan untuk menjual motosikal berkuasa tinggi terpakai jenama lain pada masa depan seperti Ducati dan Apprilia.

"Apabila kami sudah menyelesaikan persediaan yang berkaitan, kami akan mengumumkannya," katanya.

Tahun lalu, Naza Prestige Bikes Sdn Bhd menjual 320 unit motosikal Harley-Davidson baru, dan tahun ini ia menyasarkan jualan 500 unit.
0 Komentar untuk "Naza buka pusat Harley-Davidson terpakai"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top