Info Putra Heights 2016

Liga Malaysia 2013 - Angkara Marlon, Tentera tewas

Seremban: Rentak kemenangan Tentera selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu lalu gagal diteruskan dalam perlawanan sulung mereka dalam saingan Liga Super apabila tewas 1-0 kepada Lions XII di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.Ketumpulan jentera serangan yang diterajui Marlon Alex James menjadi punca anak buah B Sathianathan kehilangan tiga mata walaupun menguasai permainan dengan deretan peluang keemasan dihasilkan barisan tengah skuad The Gladiators.

Tentera berpeluang membuka jaringan seawal minit kedua, namun tandukan pemain pertahanan berpengalaman, Shukor Adan sempat ditepis penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.


Selang lima minit, penjaga gol kebangsaan Singapura itu sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai juara Piala Suzuki AFF apabila menangkap kemas rembatan padu Marlon.

Pada minit ke-22, Marlon yang masih bergelut dengan masalah kecergasan hampir memecah kebuntuan apabila lolos dari kawalan pertahanan Singapura, tetapi rembatannya berjaya ditampan Izwan.

Gerakan menarik barisan tengah Sathianathan sekali lagi mencipta peluang keemasan buat penyerang kelahiran Saint Vincent and the Grenadines itu, tetapi rembatan minit ke-34 Marlon yang hanya berdepan Izwan tersasar ke sisi gawang.

Tidak sampai seminit babak kedua bermula, Hairuddin Omar yang mendapat umpanan cantik di dalam kotak penalti Singapura, tetapi rembatan padunya terkena palang.
Kemuncak ketumpulan Marlon muncul pada minit ke-53 apabila umpanan cantik Bruno Martelotto kepadanya betul-betul di depan pintu gawang yang tidak dijaga, gagal disempurnakan penyerang itu.

Kegagalan Tentera memanfaatkan deretan peluang akhirnya dihukum Lions XII pada minit ke-66 apabila gerakan yang bermula dari sepakan sudut disempurnakan kapten Shahril Ishak untuk membolehkan pasukan kendalian V Sundramoorthy membawa pulang tiga mata berharga.
0 Komentar untuk "Liga Malaysia 2013 - Angkara Marlon, Tentera tewas"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top