Info Putra Heights 2016

Isu perpindahan Mat Yo selesai

pada 4 Januari lalu. Petaling Jaya: Isu perpindahan bekas penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo ke Johor Darul Takzim (DT) selesai selepas pemain itu disahkan membuat bayaran tebus kontrak sebanyak RM299,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 4 dan 5 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuaratnya di Wisma FAM di sini, semalam.
Isu bayaran tebus kontrak Norshahrul Idlan sudah selesai selepas pemain itu disahkan membuat bayaran kepada KAFA RM250,000 pada 4 Januari dan RM49,000 pada 5 Januari lalu.

Kami menerima salinan bayaran ini daripada peguam yang mewakili Norshahrul Idlan, kata pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, KAFA tidak mempunyai hak menuntut bayaran perpindahan kerana berdasarkan peraturan FAM, seseorang pemain yang menamatkan kontrak sebelah pihak hanya perlu menjelaskan bayaran penebusan kontrak.

"KAFA hanya berhak menuntut bayaran penebusan kontrak selama 13 bulan dan kami tidak membenarkan persatuan itu menuntut bayaran perpindahan kerana ia bukan membabitkan perpindahan tetapi lebih kepada penamatan kontrak.

"Kami juga tidak akan mengiktiraf sekiranya wujud perjanjian lain antara bekas pemain dengan majikannya tanpa merujuk kepada FAM seperti dalam kes Norshahrul Idlan kerana ia di luar bidang kuasa kami," katanya.
Sebelum ini penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan menuntut RM318,000 daripada 'Pemain Paling Bernilai' Liga Malaysia 2012 itu bagi menyelesaikan isu perpindahannya ke pasukan Harimau Selatan.

Annuar bertegas nilai tebus kontrak berbaki 13 bulan pemain itu bukan RM250,000 sebaliknya RM318,500.

Bagaimanapun, dalam laporan BH Sukan 9 Januari lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mendakwa Norshahrul Idlan sudah melunaskan hutang tebus kontrak kepada KAFA berjumlah RM299,000, pada 4 Januari lalu. Bayaran itu dibuat oleh peguam yang dilantik pemain terbabit mengikut Artikel 39.2 - Jumlah bayaran maksimum yang ditetapkan FAM untuk tebus kontrak pemain.

Sementara itu, Takiyuddin berkata jawatankuasa berkenaan turut mengarahkan PBNJ membayar pampasan latihan dan pendidikan berjumlah RM15,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana mendapatkan khidmat bekas pemain Harimau Muda B, Muhammad Akram Mahinan yang berasal dari negeri itu.

Pemain berusia 21 tahun itu dilepaskan oleh Harimau Muda B dan dikatakan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan Johor DT musim ini.
0 Komentar untuk "Isu perpindahan Mat Yo selesai"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top