Info Putra Heights 2016

50 ribu hadir Himpunan Kebangkitan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 16 – Penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dilaksanakan oleh pakatan pembangkang Sabtu lalu secara jelas adalah gagal jika dikira dari jumlah kehadiran peserta berbanding jumlah pengundi dalam pilihan raya umum.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, jika dikira dari sudut matematik berdasarkan kehadiran para peserta dalam perhimpunan terbabit maka ia dianggap tidak berjaya.
 
"Himpunan terbabit mensasarkan jumlah yang amat besar iaitu sejuta orang sedangkan yang hadir hanya sekitar 45 ribu orang dan jika mahu dikaitkan dengan PRU yang bakal menjelang maka pakatan pembangkang gagal mendapat sokongan daripada rakyat," katanya kepada UMNO-Online.
Anggaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, jumlah kehadiran dalam perhimpunan terbabit adalah seramai 45 ribu orang berdasarkan kepada bilangan tempat duduk yang boleh menempatkan 30 ribu orang sementara di atas padang boleh menampung seramai 15 ribu orang.
"Katakanlah jumlah yang hadir himpunan ini lebih ramai iaitu menjangkau kepada 60 ribu orang maka ia masih gagal jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pengundi yang memberikan sokongan kepada pakatan pembangkang pada PRU ke-12 lalu."
Pada PRU ke-12, seramai 8,161,039 warga Malaysia telah keluar mengundi dengan 4,081,115 memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sementara pakatan pembangkang menerima 3,786,732 penyokong.
 
"Jika diambil dari sudut angka, penyokong pakatan pembangkang yang turun dalam himpunan terbabit hanyalah sekitar 1.58 peratus dari seluruh negara yang mana jumlah ini amat kecil untuk melihat gambaran sokongan sebenar masyarakat pelbagai kaum kepada mereka.
"Sekiranya dilihat dari aspek yang lebih kecil iaitu hanya membabitkan 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, maka jumlah penyokong yang hadir juga amat rendah dan ia turut menggambarkan kegagalan kepada tiga parti sekutu dalam pembangkang ini."
Jumlah 11 kawasan Parlimen tersebut ialah Kepong (DAP – 35,552), Batu (PKR – 29,785), Segambut (DAP – 25,046), Titiwangsa (Pas – 17,857), Bukit Bintang (DAP – 56,811), Lembah Pantai (PKR – 21,728), Seputih (DAP – 47,230), Cheras (DAP – 39,253), Bandar Tun Razak (PKR – 28,123), Setiawangsa (PKR – 17,355) dan Wangsa Maju (PKR – 19,637) yang membabitkan sebanyak 308,377 undi keseluruhannya.
 
"Dengan jumlah tersebut dapat dilihat bahawa hanya satu perlima sahaja yang hadir dalam himpunan pakatan pembangkang ini biarpun ia dibuat pada hujung minggu dengan pelbagai hebahan dilaksanakan lebih awal kepada masyarakat, walhal ia turut mendapat kelulusan dari pihak berkuasa.
"Justeru, tak perlulah pakatan pembangkang nak menegakkan benang yang basah dengan melapor atau mencanang kononnya himpunan yang mereka laksanakan berjaya kerana dengan angka saja jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak agenda mereka."
Tegasnya yang juga Setiausaha Agung BN, rakyat tidak mahu terus diperbodohkan dengan pelbagai janji-janji manis dan gula-gula politik sebagaimana yang berlaku pada 2008 malah pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan sendiri membuktikan kesungguhan memperbaiki kesilapan untuk terus membawa kemajuan kepada agama, bangsa dan negara.
 
Dalam masa yang sama beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa kerana berjaya mengawal himpunan terbabit dengan jayanya tanpa berlaku kejadian negatif dan huru-hara yang secara tidak langsung membuktikan Akta Perhimpunan Aman 2012 berkesan
0 Komentar untuk "50 ribu hadir Himpunan Kebangkitan Pembangkang"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top