Info Putra Heights 2016

Saintis hasilkan jarum suntikan elak rasa sakit

BOSTON 11 Dis. - Sekumpulan saintis di sini berjaya menghasilkan jarum suntikan yang mampu mengurangkan rasa sakit ketika disuntik dan tahan bengkok, yang diilham daripada struktur duri landak.
Ketua penyelidikan, Dr. Jeffrey Karp dari Hospital Wanita Brigham, Boston berkata, idea itu diperoleh selepas mengkaji kaedah mempertahankan diri yang digunakan oleh landak Amerika Utara ketika berdepan dengan musuh.
 
Menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal Akademi Sains Kebangsaan semalam, Dr. Karp berkata, landak mempunyai kira-kira 30,000 duri yang akan ditanggalkan sekiranya diserang musuh, sebelum haiwan itu bertindak melarikan diri.
Jelas beliau, duri landak menjadi senjata yang berkesan kerana mempunyai hujung tajam halus seperti cangkuk yang terbalik.
 
Cangkuk tersebut berfungsi seperti mata pisau yang bergerigi, dengan mudah masuk ke dalam tisu dan melekap pada daging serta dalam masa yang sama bertindak mengurangkan tekanan ketika ia ditusuk.
"Kami terperanjat apabila mendapati cangkuk tersebut bertindak dalam dua fungsi iaitu mengurangkan tekanan kemasukan bagi memudahkan masuk ke dalam tisu dan memaksimumkan tekanan pegangan bagi membolehkan duri itu sukar dilepaskan," katanya.
Berdasarkan struktur tersebut, Dr. Karp dan pasukannya mencipta replika plastik menyerupai struktur duri landak, yang berupaya mengurangkan tekanan ketika dicucuk, namun mudah ditarik bagi mengurangkan kesakitan.
 
Kajian tersebut dijangka mampu memperbaharui rekaan jarum suntikan dan peralatan perubatan pada masa depan. - AGENSI
0 Komentar untuk "Saintis hasilkan jarum suntikan elak rasa sakit"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top