Info Putra Heights 2016

Piala AFF - Wan Zack terlepas aksi separuh akhir

KEM skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila Wan Zack Haikal Wan Nor tidak dapat beraksi pada separuh akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF 2012.
Berita buruk itu disahkan oleh jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan kehilangan pemain kelahiran Maran, Pahang itu memang memberikan tamparan kepada skuad kendaliannya menjelang pertemuan menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
 
Jelas jurulatih berusia 52 tahun itu, beliau berharap kehadiran semula S. Kunanlan diharap dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Zack selain berharap barisan pemainnya bersedia sepenuhnya menghadapi apa juga ancaman Thailand pada perlawanan tersebut kelak.
"Kecederaan Wan Zack agak teruk. Pada mulanya saya berpendapat kecederaan itu masalah kecil sahaja, namun dia bakal terlepas dua aksi separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 selepas ditimpa masalah kecederaan otot yang terkoyak.
 
"Ketiadaan Wan Zack memang dirasai oleh pasukan ini, malah Shakir Shaari juga bakal menyertai Wan Zack yang akan terlepas aksi separuh akhir pertama akibat kecederaan.
"Begitupun, Kunanlan telah menunjukkan persembahan positif manakala Safee Sali dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri masih lagi dibelenggu masalah kecederaan otot," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Jelasnya, beliau membayangkan Safee bakal diletakkan dalam senarai pemain simpanan selain mengakui cabaran skuad negara untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu semakin sukar selepas kehilangan beberapa tonggak utama.
 
"Persiapan skuad negara berjalan seperti biasa. Namun, kemungkinan Safee akan memanaskan bangku simpanan ketika menentang Thailand pada aksi pertama nanti.
"Sukar buat kami apabila kehilangan ramai pemain utama dan saya berharap kami berjaya mencatatkan keputusan positif pada perlawanan pertama nanti.
"Sudah tentu kami mahu menang tetapi kita juga perlu menyedari yang skuad negara kini agak tempang mengharungi aksi separuh akhir pertama," katanya.
0 Komentar untuk "Piala AFF - Wan Zack terlepas aksi separuh akhir"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top