Info Putra Heights 2016

Piala AFF - Norshahrul mahu buru gol awal

SEPANG - Selepas menamatkan kemarau jaringan dalam kempen Piala Suzuki AFF kali ini menentang Thailand kelmarin, Norshahrul Idlan Talaha berazam untuk terus meledak jaringan pada separuh akhir kedua di Bangkok, Khamis ini.
 
Norshahrul atau Mat Yo berharap jaringannya pada minit ke-48 ketika seri 1-1 dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan amaran kepada Thailand bahawa dia mampu menambah koleksi jaringan pada aksi di Stadium Supachalasai Bangkok nanti.
Menurutnya, Harimau Malaya harus mengekalkan rentak yang sama seperti mana beraksi di hadapan 80,000 penyokong sendiri kelmarin.
 
"Kita kena mencari gol awal di Bangkok nanti, untuk itu kita kena mengekalkan rentak permainan seperti semalam (kelmarin)," katanya.
Jelasnya, adalah tidak mustahil Harimau Malaya untuk mengulangi sejarah 2010 apabila layak ke saingan akhir seterusnya menjulang Piala Suzuki AFF.
"Saya berjanji akan melakukan yang terbaik buat pasukan kita kerana sasaran kami selepas ini ialah untuk melayakkan diri ke saingan akhir, ia bukan terletak kepada saya sahaja tetapi kepada semua pemain.
"Rakan-rakan akan sama-sama membantu untuk mencari gol awal, Thailand sudah tentu bersemangat kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri tetapi bagi saya dan rakan-rakan perkara ini sudah biasa," katanya.
 
Norshahrul memberi contoh Malaysia pernah berdepan dengan bilangan penyokong lawan yang lebih besar jumlahnya sebelum ini termasuk di Indonesia tetapi ia berjaya diharungi sehingga berjaya muncul juara pada 2010.
"Kita menghormati Thailand kerana mereka bukan sembarangan pasukan, namun mahu tidak mahu kita perlu mencari gol untuk mencerahkan laluan ke pusingan akhir.
"Saya bersedia untuk bertemu mereka pada separuh akhir, saya akan menggalas cabaran ini sebaik mungkin," katanya.
0 Komentar untuk "Piala AFF - Norshahrul mahu buru gol awal"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top