Info Putra Heights 2016

Piala AFF: Khyrill yakin pulih sebelum separuh akhir

PEMAIN sayap kanan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri berharap mampu pulih daripada kecederaan pangkal paha sebelum pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 bertemu Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Pemain berusia 25 tahun dari Alor Setar, Kedah itu mengalami kecederaan berkenaan ketika membantu skuad kebangsaan membenam Laos 4-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B, Rabu lepas.
"Kecederaan saya kini bertambah pulih selepas berehat beberapa hari dan sekiranya ahli fisioterapi membenarkan saya menjalani latihan esok (hari ini),  saya mungkin akan turun beraksi bersama rakan sepasukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.
Pada masa yang sama, Mohd Khyrill mengingatkan rakan sepasukan mengenai kekuatan pasukan Thailand dikenali sebagai 'Changsuk' (Gajah Perang) yang boleh menggugat peluang mereka ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2010.
"Sebelum ini, kita pernah bertemu mereka (Thailand) dan mereka lebih berpengalaman termasuk perlawanan persahabatan (pada 7 Nov lepas di Bangkok), kita kalah 0-2 kepada mereka walaupun mereka menurunkan pasukan simpanan.
"Saya berharap rakan sepasukan mampu menebus kembali kekalahan kita kepada Thailand pada Ahad ini," katanya.
Pandangan Mohd Khyrill itu turut dipersetujui oleh rakan sepasukannya, Wan Zack Haikal Wan Nor yang menganggap Thailand merupakan pasukan pilihan untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Pemain kelahiran Maran, Pahang itu bagaimanapun berkata skuad Harimau Malaya mampu menghalang skuad bimbingan Winfried Schafer itu sekiranya mereka meningkatkan prestasi mereka pada pertemuan separuh akhir nanti.
"Kita perlu memperbaiki segala kelemahan kita... saya yakin sekiranya kita bermain mengikut arahan dan kehendak jurulatih (Datuk K. Rajagobal), kita mampu menumbangkan Thailand di separuh akhir," katanya yang turut bermain di posisi sayap kanan.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan pernah bertemu Thailand pada saingan separuh akhir Piala AFF pada 2000 (ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger) di Bangkok namun tewas 0-2.
Skuad negara dijangka berlepas ke Bangkok pada 11 Disember ini untuk perlawanan separuh akhir kedua pada 13 Disember di Stadium Supachalasai, Bangkok. - Bernama
0 Komentar untuk "Piala AFF: Khyrill yakin pulih sebelum separuh akhir"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top