Info Putra Heights 2016

Piala AFF: Harimau Malaya 'lambat panas'

KEBOLEHAN Harimau Malaya membaham Garuda 2-0 untuk mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 kelmarin sesuatu yang sukar dijangkakan.

Melihat aksi pasukan bimbingan Datuk K Rajagobal itu yang pada mulanya agak sedikit goyah apabila Indonesia terlebih dahulu mengatur serangan.

Melihat perkembangan itu, pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi  Mara, Hamdan Ahmad menyifatkan skuad kebangsaan itu "lambat panas."

"Perlawanan pertama kita kalah dengan Singapura tapi bangkit selepas itu menewaskan Laos dan Indonesia," katanya kepada Sinar Harian Online.

Saingan separuh akhir pertama, Malaysia bakal bertemu Thailand selaku juara Kumpulan A.

"Memang Thailand pasukan yang kuat tapi tidak mustahil jika kita dapat tewaskan mereka lebih-lebih lagi perlawanan pertama berlangsung di sini (Malaysia).

"Meraka hanya perlu kekal dan tingkatkan prestasi lebih-lebih lagi di belakang," katanya.

Untuk mara ke pusingan akhir, Malaysia harus membawa bekalan selesa sebelum meneruskan aksi separuh akhir kedua di Bangkok pada 13 Disember.

"Perlawanan pertama ini sangat penting, jangan buat silap dan jangan terlalu yakin.

"Jika kita mampu menang 2-0 di sini itu sudah memadai untuk memudahkan laluan kita ke final," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau percaya skuad kebangsaan mampu mengekalkan kejuaraan Piala AFF Suzuki.

"Saya yakin kita ada peluang yang tinggi untuk kekalkan kejuaraan itu dan saya percaya pasukan kita boleh," jelasnya.

Dalam pada itu, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan kemenangan kelmarin satu kejayaan tidak diduga.

"Sejak akhir-akhir ini prestasi skuad kebangsaan dilihat sedikit merosot tapi setelah meraih kemenangan ini, saya dapat rasakan mereka akan capai satu tahap yang lebih bagus lagi," katanya.

Apabila ditanya mengenai separuh akhir pertama antara Malaysia dan Thailand 9 Disember ini, Kay Kim mengakui skuad kebangsaan bakal mengharungi laluan sukar.

"Thailand satu pasukan yang kuat. Malah menjadi pendahulu saingan Kumpulan A. Tapi, itu semua tidak mustahil.

"Apa yang penting Malaysia harus menang walaupun dengan siapa juga lawannya." katanya.

Mengulas lanjut tahap kepimpinan jurulatih skuad kebangsaan, beliau berkata, mungkin masa depan Rajagobal gelap sekiranya Malaysia tumpas kepada Indonesia kelmarin.

"Nampaknya negara masih memerlukan khidmat Rajagobal dan dia boleh buktikan kemampuan dalam Piala AFF Suzuki ini.

"Jika kita dapat mempertahankan kejuaraan tidak mustahil dia dapat menghasilkan satu pasukan yang bertaraf lebih tinggi dari sekarang," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agak skuad kebangsaan dapat menjadi juara, sekaligus mempertahankan gelaran juaranya yang diperolehi pada 2010.

"Saya berharap agar Malaysia dapat pergi ke peringkat yang lebih tinggi dari Piala AFF Suzuki ini," jelasnya.
0 Komentar untuk "Piala AFF: Harimau Malaya 'lambat panas'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top