Info Putra Heights 2016

Penghantaran al-Quran ke Kemboja

KIRA-KIRA 500,000 umat Islam di Kemboja pasti berasa gembira apabila Yayasan Restu Malaysia (YRM) menghantar sejumlah 36,160 naskhah al-Quran ke sana. Uniknya lagi, penghantaran tersebut menggunakan jalan laut menuju Bandar Ho Chin Min, baru-baru ini.
Majlis penghantaran Al-Quran Terjemahan Khmer itu dihantar melalui kapal yang berlabuh di Klang, Selangor dengan disaksikan Pengerusi YRM, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan para pegawainya.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kagat, Kol Nawawi Daud dan Kapten Normazlan Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Vo Husin Bakar dan Ketua Pegawai Operasi YRM, Muhamad Taufiq Izham Ismail.
 
Abdul Latiff berkata, kesemua naskhah al-Quran adalah sumbangan wakaf anak Malaysia dan akan berlayar menuju ke Bandaraya Ho Chi Minh City, Vietnam menuju ke Phnom Penh, Kemboja dalam tempoh perjalanan selama kira-kira 14 hari.
 
Menurutnya, beberapa delegasi Malaysia yang mewakili Kementerian Pertahanan, YRM dan Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja akan berada di sana bagi menyerahkan al-Quran secara rasmi kepada penduduk Islam terbabit nanti.
Beliau berkata, sebelum ini al-Quran dihantar pada bulan Ramadan pada 2010, sebanyak 10,200 naskhah, manakala pada tahun ini sebanyak 40,000 naskhah.
"Pada 2010 sebanyak RM1,038,888 telah berjaya dikutip untuk mencetak 50,000 naskah al-Quran, manakala pada tahun lalu sebanyak RM1,003,837 bagi mencetak 40,000 naskhah kitab yang sama.
"Rakyat Malaysia melalui Program Wakaf al-Quran Sinar Sejagat berjaya membantu minoriti umat Islam seluruh dunia," katanya ketika ditemui.
 
Abdul latiff berkata matlamat penghantaran al-Quran ke Kemboja sekurang-kurangnya dapat membantu masyarakat Islam di sana mendalami isi kandungannya.
Selain Kemboja, YRM juga pernah menghantar al-Quran negara lain seperti Nigeria, Kazakstan, Indonesia dan Thailand.
YRM yang dibantu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mensasarkan 100,000 naskhah kitab berkenaan dihantar ke Kemboja dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi keperluan 100,000 keluarga Islam yang mempunyai anggota seramai 500,000 orang.
Beliau berkata, tujuan utama al-Quran dihantar ke sana ialah bagi merealisasikan misi kemanusiaan dan mempereratkan tali persaudaraan seagama daripada aspek meningkatkan kefahaman umat Islam Kemboja mengenai ilmu al-Quran dan nilai-nilai murni sejagat yang terdapat di dalamnya.
Katanya, al-Quran yang dihantar ke sana telah melalui proses penterjemahan ke dalam bahasa Khmer iaitu bahasa rasmi Kemboja.
 
"Al-Quran perlu dihantar kerana umat Islam di sana sukar mendapat mushaf al-Quran berikutan kekurangan dana dan kesukaran mencetaknya.
"Jumlah mushaf al-Quran yang pernah dihantar ke sana tidak mencukupi dan mereka berkongsi sebuah mushaf bagi kegunaan lima buah keluarga," jelasnya.
Kata Abdul Latiff lagi, pelbagai pihak telah melaksanakan misi bantuan pelbagai bentuk seperti dana untuk membangunkan fasiliti pendidikan, masjid, pakaian, kitab, ibadah korban dan akikah.
Alhamdulillah YRM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih menumpukan kepada usaha wakaf al-Quran.

0 Komentar untuk "Penghantaran al-Quran ke Kemboja"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top