Info Putra Heights 2016

Penentang Bashar Al-Assad tembak jatuh jet MiG

DAMSYIK - Pejuang-pejuang penentang di Syria menembak jatuh sebuah jet perang MiG yang mengebom beberapa kubu kuat pihak penentang dalam wilayah Damsyik, kata beberapa aktivis semalam.
"Pasukan Tentera Pembebasan Syria (FSA) menembak jatuh sebuah jet pejuang di antara bandar Dumeir dan Rahiybeh kelmarin. Jet itu dikenal pasti telah mengebom beberapa bandar dan pekan di Ghuta Timur," kata seorang jurucakap FSA.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, pihaknya menerima laporan sebuah jet tentera Syria ditembak jatuh dekat Dumeir, sekitar 40 kilometer ke barat daya bandar raya ini.
 
Sejak akhir Julai lalu, rejim Presiden Bashar Al-Assad bergantung kepada jet-jet pejuang untuk mengekang penentangan yang semakin meningkat di negara itu.
"Jika tentera Syria mula kehilangan beberapa pesawat setiap hari ia menjadi titik perubahan kerana rejim tersebut akan hilang kelebihannya dan tidak lagi dapat melakukan serangan berat dengan berkesan," kata seorang penganalisis tentera, Riad Kahwaji.
Dalam pada itu, Perancis menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara semalam dalam memberi amaran kepada Damsyik supaya tidak menggunakan senjata kimia terhadap FSA.
 
"Sebarang penggunaan senjata kimia oleh Bashar tidak dapat diterima," kata jurucakap Kementerian Luar, Vincent Floreani.
"Kepimpinan di Damsyik perlu tahu bahawa masyarakat antarabangsa sedang memerhati mereka dan akan bertindak jika senjata tersebut digunakan," tambahnya.
Kelmarin AS memberi amaran kepada Bashar bahawapihaknya akan menimbang tindakan ketenteraan sekiranya beliau menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya sendiri.
 
Amaran tersebut dikeluarkan ketika konflik berdarah di Syria telah meragut lebih 41,000 nyawa setakat ini.
Rakyat Syria bangkit menentang pemerintahan Bashar pada Mac tahun lalu untuk menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi. - Agensi
0 Komentar untuk "Penentang Bashar Al-Assad tembak jatuh jet MiG"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top