Info Putra Heights 2016

Liga M - FAM enggan dedah rahsia sebenar

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia lebih cenderung mengambil pendekatan 'kunci mulut' ketika diminta mengulas mengenai penyingkiran NS Betaria daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
"Kenapa Betaria tidak dibenarkan terlibat dalam Liga M, kami tidak boleh dedahkan.
"Setelah menilai semua perkara, ahli jawatankuasa memutuskan kelab itu tidak dibenarkan untuk beraksi pada musim depan," kata sumber dalaman FAM kepada Kosmo! semalam.
 
Terdahulu, FAM telah bertindak untuk menyingkirkan NS Betaria daripada melibatkan diri dalam semua pertandingan meskipun menewaskan UiTM 3-0 pada aksi playoff Liga Perdana bagi musim 2013, Oktober lalu.
Situasi itu menyaksikan Perlis yang menduduki tangga ke-11 dan UiTM (ketiga Liga FAM) akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh NS Betaria dan USM FC yang menarik diri.
Sebagai rekod, NS Betaria menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dalam Liga Perdana musim lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) ketika dihubungi Kosmo! semalam pula enggan memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Sebaliknya, Hamidin mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima permohonan pertukaran nama pasukan Johor FC yang bakal dikenali sebagai Darul Takzim FC mulai musim depan.
 
Jelasnya, FAM tiada sebab untuk menolak permohonan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sejak September lalu.
"FAM telah menerima permohonan tersebut selepas pihak berkenaan telah mengemukakan dokumen yang diperlukan.
"Ia termasuk pengesahan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan tentang penukaran nama itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamidin menegaskan, tiada perubahan nama membabitkan pasukan Johor yang akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan.
"Kami tiada sebarang bantahan dan status quo Johor dalam Liga Perdana akan kekal.
"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merupakan Presiden PBNJ manakala Darul Takzim FC akan diuruskan oleh orang lain," ujarnya.
0 Komentar untuk "Liga M - FAM enggan dedah rahsia sebenar"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top