Info Putra Heights 2016

Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A

BACHOK - Kerajaan pusat memperuntukkan RM492,200 menerusi wang ihsan bagi program anugerah kecemerlangan pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di semua sekolah di negeri ini.
   
Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata seramai 4,922 pelajar masing-masing menerima RM100 menerusi majlis penyampaian yang diadakan di setiap kawasan Parlimen sepanjang bulan ini.
   
"Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pengagihan kecemerlangan UPSR di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini, hari ini.
   
Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.
   
Seramai 665 pelajar cemerlang Tahun Enam dari 34 sekolah rendah di Bachok menerima sumbangan wang ihsan yang diagihkan secara tunai berjumlah RM66,500.
  
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pemberian itu sebagai menghargai kesungguhan pelajar mengharumkan nama Kelantan yang berupaya berada di tangga kedua cemerlang selepas Putrajaya dalam UPSR tahun ini.
   
Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang akan turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan menengah rendah, pelajar tingkatan enam dan bakal penuntut universiti.
   
Awang Adek menegaskan bahawa perbelanjaan wang ihsan digunakan sebaik mungkin dengan pengagihannya dilaksanakan secara telus dan adil serta lengkap dengan laporan auditnya.
   
"Ini adalah wang rakyat dan saya bertanggungjawab memegang amanah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir wang berkenaan bagi keperluan rakyat berasaskan prosedur yang diputuskan di peringkat jawatankuasa pengagihan," katanya.  - Bernama
0 Komentar untuk "Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top