Info Putra Heights 2016

Kenapa Jururawat Kate mati ?

LONDON - Seorang jururawat yang menjadi mangsa panggilan palsu untuk mendapatkan maklumat tentang kehamilan isteri Putera William, Kate Middleton atau Duchess of Cambridge, Catherine, ditemui mati mengejut, menurut kenyataan sebuah hospital kelmarin.
Jacintha Saldanha yang berasal dari India ditemui mati di sebuah apartmen yang menempatkan pekerja-pekerja Hospital King Edward VII di sini awal kelmarin.
Saldanha, 46, bekerja di hospital berkenaan sejak empat tahun lalu.
Punca kematiannya masih belum dikenal pasti dengan polis kini menunggu keputusan bedah siasat tetapi pihak berkuasa menolak sebarang perbuatan khianat.
Beberapa media Britain melaporkan bahawa wanita itu mati kerana membunuh diri tetapi kesahihan laporan tersebut tidak dapat disahkan.
 
Dalam pada itu, stesen radio Australia yang dikaitkan dengan panggilan palsu tersebut, 2DayFM menyatakan bahawa dua penyampainya, Mel Greig dan Michael Christian tidak akan kembali bekerja sehingga dimaklumkan kelak.
Kedua-dua penyampai radio tersebut memohon maaf berhubung perbuatan mereka pada Rabu lepas.
"Pendek kata, mereka amat terkejut dengan kematian Saldanha," kata Rhys Holleran yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk 2DayFM, Southern Cross Austereo.
Greig dan Christian menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan ayahanda William, Putera Charles dan meminta Saldanha menyambungkan panggilan mereka untuk bercakap dengan seorang jururawat yang memberikan butiran terbaharu tentang keadaan Kate.
 
Perbuatan dua penyampai radio berkenaan turut membangkitkan kemarahan ramai pengguna internet di Britain dan Australia yang menyifatkan perbuatan mereka sebagai jenaka yang keterlaluan.
"Kelakarkah lagi kamu? Seorang jururawat Britain hilang nyawa untuk jenaka murahan kamu. Kamu patut malu dengan perbuatan kamu!" kata seorang pengguna internet, Kim Wilson.
Berita kematian Saldanha turut menimbulkan perasaan sedih kepada William dan Kate.
"Kami ingin menyatakan sokongan penuh kami kepada semua jururawat (yang terlibat merawat Kate) dan staf hospital berkenaan," kata satu kenyataan Istana St.James yang mewakili pasangan diraja itu.
Kate dimasukkan ke Hospital King Edward VII pada Isnin lalu kerana mengalami rasa mual yang teruk sebelum dibenarkan keluar Khamis lalu.
 
Beberapa pegawai Istana St.James menyatakan, kehamilan Kate belum mencapai usia 12 minggu dan ia merupakan zuriat pertama Putera William dan isterinya. - AP
0 Komentar untuk "Kenapa Jururawat Kate mati ?"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top