Info Putra Heights 2016

Jurulatih: Lawan Thai Harimau Malaya perlu kerja keras

KETUA jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal mahu anak didiknya melupakan kemaraan ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, sebaliknya menuntut mereka memberi fokus sepenuhnya dalam aksi
menentang Thailand di separuh akhir.
 
Skuad Harimau Malaya yang muncul naib juara Kumpulan B dijadual bertemu Thailand selaku juara Kumpulan A pada saingan separuh akhir, 9 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum aksi timbal balik pada 13 Dis di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Satu lagi separuh akhir bakal menemukan Singapura menentang Filipina yang akan berlangsung pada 8 dan 12 Disember.
 
Rajagobal berkata, skuad Gajah Putih itu merupakan pasukan hebat memandangkan mereka menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam dua edisi Piala AFF lepas.
"Thailand sememangnya satu pasukan yang kuat dan pada tahun ini, mereka muncul juara kumpulan A, jadi kita perlu meningkatkan lagi prestasi," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Indonesia yang menyaksikan anak buahnya mencatatkan kemenangan 2-0.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Indonesia malam ini, Rajagobal memuji beberapa pemain dalam skuad kebangsaan seperti Wan Zack Haikal Wan Nor dan Azamuddin Mohd Akil yang menampilkan persembahan terbaik.
 
"Pada separuh masa kedua, saya mengarahkan kedua-dua pemain bertukar posisi (dengan Wan Zack menyerang di sayap kanan manakala Azamuddin di sayap kiri) dan
kita boleh nampak bahawa kedua-dua pemain ini menunjukkan satu permainan menyerang.
"Saya harap yang penting (kepada kesemua pemain kebangsaan) dapat mengekalkan konsistensi seperti Wan Zack yang kali pertama beraksi pada Piala AFF Suzuki," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, Nil Maizar menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan menyifatkan skuad Harimau Malaya lebih berhak mara ke saingan separuh akhir.
"Saya tidak ingin menyalahkan pemain kerana mereka telah mencuba bermati-matian...mungkin rezeki tidak menyebelahi kita pada kejohanan kali ini," katanya yang baru sahaja membimbing skuad Garuda mulai awal tahun ini.
 
Beliau berkata pemain Indonesia perlu memandang ke hadapan bagi mempersiapkan diri menghadapi Piala AFF Suzuki 2014. - Bernama.
0 Komentar untuk "Jurulatih: Lawan Thai Harimau Malaya perlu kerja keras"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top