Info Putra Heights 2016

Gabungan sulung Jamal dan Jay Jay

BUAT julung-julung kalinya bagi peminat penyanyi legenda, Jamal Abdillah dan Jay Jay, mereka bakal menyaksikan gabungan dua penyanyi tersebut dalam satu pentas yang sama pada 24 Disember ini.
Diberi nama Jamal Abdillah And Jay Jay Live Concert, konsert yang bakal diadakan di Lanjut Golden Beach & Golf Resort tersebut memberikan sedikit kelainan. Ini kerana kedua-dua penyanyi itu akan menghiburkan para peminat sambil menikmati hidangan barbeku antarabangsa di tepi pantai yang dinamakan sebagai Lanjut Carnivale Fiesta BBQ Around The World di Kuala Rompin, Pahang.
Konsert tersebut juga akan membawa peminat dan pengunjung yang hadir melalui perjalanan nostalgia mereka dari dahulu hingga kini. Dalam konsert yang akan berlangsung selama dua setengah jam, Jamal akan menyampaikan sebanyak 22 lagu hit miliknya, manakala Jay Jay akan mendendangkan sebanyak tujuh buah lagu.
 
Bercakap mengenai konsert tersebut yang telah mempertemukan dirinya dengan Jamal di atas satu pentas, Jay Jay menyifatkan ia sebagai sebuah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.
"Sepanjang berdekad saya berada di dalam industri, saya belum pernah diberi peluang sebegini. Justeru apabila ditawarkan, saya menjadi teruja dan terkejut kerana ini merupakan penghargaan yang sangat besar buat saya untuk bergandingan dengan Raja Pop kita iaitu Jamal. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur atas undangan ini," ujar Jay Jay ketika sesi sidang akhbar yang bertempat di Gloria Jeans, Wisma Nusantara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, pada konsert itu nanti, dia akan menyampaikan lagu-lagu hit dari kumpulan lamanya, Carefree dan beberapa lagu solonya.
Jika Jay Jay melahirkan rasa terharu kerana dapat berkongsi pentas dengan Jamal, penyanyi tersebut juga tidak menafikan bahawa dia amat teruja untuk mengadakan konsert bersama rakan seperjuangannya itu.
 
Selain itu, kata Jamal, dia gemarkan konsep konsert yang dipersembahkan kerana ia sangat berbeza daripadaa apa yang dilakukannya sebelum ini.
Ujarnya: "Selalunya saya melakukan konsert tertutup, tapi kali ini, konsepnya sedikit berbeza apabila ia dibuat di tepi kolam dan santai. Malah saya akan menyanyi di atas pentas terapung dan ia jarang dilakukan dalam persembahan sebelum ini. Saya amat berharap agar persembahan kami berdua akan dapat memuaskan pengunjung yang hadir.
Gabungan Jay Jay dan Jamal dalam persembahan tersebut merupakan kerjasama di antara pihak Lanjut Golden Beach Resort & Golf Resort dan PNB Commercial Sdn. Bhd.
 
Sementara itu, wakil penganjur resort, Ghani Syah Rahim, berkata perancangan untuk menggabungkan dua orang legenda seni tersebut adalah tepat kerana masing-masing mempunyai peminat yang tersendiri.
"Pihak kami amat yakin peminat akan gembira dengan konsert yang dianjurkan dan ia akan memberi kepuasan kepada mereka. Walaupun sudah lama bertapak dalam industri dan banyak bakat baharu muncul, harus diakui aura Jay Jay dan Jamal masih tebal. Mereka masih diminati ramai dan kekal hebat," kata Ghani.
Bagi peminat yang berminat untuk menonton persembahan mereka, tiket konsert boleh didapati dari harga bermula RM399 hingga RM699 (bersama barbeku) dan boleh ditempah melalui talian 09-414 5113.
Selain itu, diskaun bagi harga bilik penginapan turut diberikan bagi mereka yang ingin bermalam di resort tersebut.
0 Komentar untuk "Gabungan sulung Jamal dan Jay Jay"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top