Info Putra Heights 2016

9 pemain sertai Harimau Muda A

SEMBILAN pemain daripada pasukan kelab dan negeri telah menyatakan persetujuan menyertai pasukan Harimau Muda A (skuad bawah 23 tahun negara) pada musim depan, demikian jelas ketua jurulatih skuad berkenaan, Ong Kim Swee semalam.
Pemain terbabit ialah Mohd. Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, D. Kenny Pallraj (Perak); Muhammad Zubir Mohd. Azmi (Terengganu), Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (PKNS FC).
Turut tersenarai ialah Mohamad Firdaus Muhamad (Harimau Muda B), Saiful Ridzuwan Selamat (UiTM FC) dan Adam Nor Azlan daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil.
 
"Kesemua pemain tersebut telah melapor diri semalam kecuali dua pemain dari Perak yang membantu pasukan mereka menghadapi (Perlis) pada suku akhir kedua Piala Emas Raja- Raja (di Stadium Perak, Ipoh) hari ini (semalam)," kata Kim Swee.
Menurut beliau, pemain yang belum melapor diri akan berbuat demikian pada sesi latihan pasukan berkenaan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya petang ini.
 
"Selain sembilan pemain tersebut, saya turut berminat mendapatkan pemain pertahanan daripada Selangor PKNS iaitu Mohd. Aminuddin Mohd. Noor bagi memperkuatkan pasukan menghadapi kejohanan-kejohanan pada tahun depan.
"Saya difahamkan, Mohd. Aminuddin bersama Mohd. Azrif Nasrulhaq kini bersama pasukan Selangor PKNS menghadapi perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia tahun depan.
 
"Namun, saya berharap dapat menyelesaikan proses mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan sebelum 10 Disember ini," katanya.
Beberapa pemain skuad berkenaan telah meninggalkan pasukan itu berikutan melebihi had umur, antaranya pemain kebangsaan, Mahalli Jasuli yang menyertai pasukan Selangor.
Skuad Harimau Muda A bakal beraksi di Eropah musim depan sebagai persediaan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan tempat mereka dalam Liga Singapura akan digantikan skuad Harimau Muda B yang dikendalikan bekas jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail.
0 Komentar untuk "9 pemain sertai Harimau Muda A"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top