Info Putra Heights 2016

12 individu langgar lampu isyarat AES didenda

KUALA LUMPUR - Seramai 12 orang didenda RM300 atau tiga hari penjara oleh Mahkamah Majistret Trafik di sini selepas gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari akibat melanggar lampu isyarat merah yang dipasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Mereka merupakan antara 27 daripada 914 individu yang diarah hadir ke mahkamah semalam bagi menghadapi tuduhan berkenaan.
Selain mereka, lapan orang lagi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Noorashikin Sahat dan Noor Azura Murah manakala tujuh lagi hanya diberikan amaran selepas mahkamah menerima alasan mereka tidak memandu kenderaan tersebut ketika kejadian.
Dalam pada itu, baki seramai 887 orang yang gagal hadir telah dikenakan waran tangkap.
 
Mengikut tuduhan, kesalahan dilakukan di lampu isyarat merah yang dipasang kamera AES di dua kawasan iaitu Jalan Klang Lama-Jalan Sepadu dan Jalan Ipoh bermula pada 23 September lalu.
 
Timbalan Pendakwa Raya Yuhaniza Mohd. Yusof dan Zulkhairee Sabirudin mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM200 dan maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 19 dan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Seramai 1,272 orang diarah hadir ke mahkamah sejak 29 November hingga semalam atas tuduhan gagal membayar saman berkaitan AES tetapi hanya 35 yang hadir.

0 Komentar untuk "12 individu langgar lampu isyarat AES didenda"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top