Info Putra Heights 2016

Sesi pertama pengajian Universiti Islam Malaysia bermula tahun depan

Universiti Islam Malaysia (UIM) yang pertama ditubuhkan di bawah Majlis Raja-Raja Melayu akan memulakan sesi pengajian pertamanya di sini pada tahun depan dengan memperkenalkan dua kursus jangka pendek.
Pengerusi Majlis UIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, kursus enam bulan itu terbuka kepada pemegang ijazah pertama yang berminat untuk mendalami bidang Pendidikan Islam dan Kewangan Islam.
Katanya, kedua-dua kursus tersebut masing-masing akan menerima seramai 500 pelajar.
"Walaupun permohonan kami untuk mendapatkan status institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam proses kelulusan tetapi langkah menawarkan dua kursus itu adalah usaha memperkenalkan kewujudan UIM.
"Setakat ini modul pengajian kedua-dua kursus itu dalam peringkat akhir penelitian pihak berkenaan tetapi dijangka selesai sebelum hujung tahun ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum mengadakan lawatan ke sekitar bangunan yang akan menjadi premis sementara dan juga tapak tanah untuk kampus utama UIM di sini hari ini.
UIM hanya menawarkan pengajian di peringkat sarjana (MA) dan doktor falsafah (PhD) sebaik sahaja menerima kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Mohd. Yusof berkata, apa yang menarik mengenai dua kursus itu adalah pihaknya akan menyelitkan syarahan profesor luar negara yang terkenal dalam bidang berkaitan.
 
"Sesi pendaftaran kedua-dua kursus itu akan mula dibuka bulan depan dan terhad kepada 500 pelajar sahaja," katanya.
Ditanya mengenai tapak kampus UIM, katanya, pembinaan melibatkan tanah seluas 40 hektar sahaja tetapi enggan mengulas lanjut tentang kos.
"Tentang kos pembinaannya, saya tidak dapat mengumumkannya kerana masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkenaan," katanya
0 Komentar untuk "Sesi pertama pengajian Universiti Islam Malaysia bermula tahun depan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top