Info Putra Heights 2016

Pemain dan Penyerang Terbaik Liga Sepanyol - Messi tiada tandingan

MADRID - Pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Andres Iniesta yakin Lionel Messi akan mempertahankan statusnya selaku pemain No. 1 dunia.
Iniesta menyuarakan keyakinan tersebut selepas rakan sepasukan dan penyerang Argentina berusia 25 tahun itu menambah koleksi peribadinya apabila diumumkan sebagai Pemain dan Penyerang Terbaik Liga Sepanyol musim lalu.
Selain itu, Messi antara calon teratas yang disebut-sebut bagi merangkul gelaran Pemain Terbaik Dunia buat kali keempat, Januari tahun depan.
Iniesta berkata, Messi merupakan pemain No. 1 dunia berdasarkan kehebatannya menjaringkan gol dan mengawal rentak permainan.
"Messi merupakan aset paling penting dalam pasukan. Dia sangat unik dan tegas. Itu semua antara faktor yang membantu kejayaannya.
"Apa yang menyebabkan para peminat Barcelona sangat gembira adalah kerana dia menjanjikan masa hadapan yang gemilang dalam corak permainannya," kata Iniesta.
Iniesta berkata, individu yang mengundi Messi untuk memenangi Anugerah Ballon d'Or akan memilihnya berdasarkan apa yang telah disumbangkannya sepanjang tahun.
Dalam pada itu, Iniesta turut tercalon dalam kategori Pemain Tengah Terbaik Di Sepanyol untuk musim lepas.
Dia antara calon terkuat untuk menyingkirkan Messi bagi anugerah individu berdasarkan reputasinya membantu Sepanyol merangkul gelaran berganda iaitu Euro 2012 dan Piala Dunia 2010 selepas Euro 2008.
Bagaimanapun bintang Barca itu menegaskan siapa pemain yang dipilih tidak penting kerana apa yang pasti dia akan terus meningkatkan usaha bagi meraih lebih banyak kejuaraan bersama Barcelona.
Sementara itu, Messi mengucapkan terima kasih kepada pengurus-pengurus yang mengundinya sebagai penyerang terbaik selain rakan sepasukan yang sangat profesional dalam membantunya meraih gelaran tersebut.
"Saya sangat berbangga menerima anugerah ini. Ia berlaku tahun lepas dan itu adalah satu penghormatan terbesar dalam karier saya," kata Messi. - Agensi
0 Komentar untuk "Pemain dan Penyerang Terbaik Liga Sepanyol - Messi tiada tandingan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top