Info Putra Heights 2016

Peguam fail saman terhadap MB

SHAH ALAM - Seorang peguam memfailkan saman terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi menghalang penjualan aset milik PKNS kepada Private Real Estate Company (PREC).

Kamarudin Ahmad, 63, yang menyewa di kompleks PKNS di sini, mendakwa beliau turut mewakili semua penyewa di kompleks tersebut.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Kamaruddin and Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, jam 2.30 petang.

Menurutnya, tindakan menyaman Khalid dan PKNS adalah satu usaha untuk memenuhi hasrat rakyat di negeri ini supaya aset PKNS kekal sebagai harta kerajaan Selangor.

Dalam writ saman itu, Kamaruddin selaku plaintif menamakan Khalid sebagai defendan pertama dan PKNS sebagai defendan kedua dalam tuntutan samannya.

Kamarudin dalam penyataan tuntutannya mendakwa, defendan menjual Kompleks PKNS di sini, Kompleks PKNS Bangi, Pusat Konvensyen SACC Shah Alam, Menara PKNS Petaling Jaya dan Wisma Yakin di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur kepada PREC.

Kamarudin turut mendakwa Khalid melanggar pindaan Enakmen PKNS 1972 yang memperuntukkan peranannya sebagai agensi pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan mengenai dasar ekonomi baru, untuk membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

Menurutnya, saman ini difailkan bagi mendapatkan perintah deklarasi kerana kedua-dua defendan melanggar perkara 13 (1) (a) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964 apabila defendan tidak mendapatkan persetujuan bertulis daripada Menteri Kewangan untuk mewujudkan syarikat PREC bagi tujuan pemindahan lima aset PKNS.

Dakwanya lagi, Khalid juga melanggar Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan dengan cara melupuskan aset PKNS sehingga menjejaskan masa depan peniaga Melayu dan Bumiputera di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau memohon agar mahkamah mengeluarkan satu perintah deklarasi agar penjualan dan pemindahan aset PKNS kepada syarikat PREC tidak sah.

Katanya, sekiranya aset tersebut telah dijual, ia perlu dikembalikan semula kepada PKNS
0 Komentar untuk "Peguam fail saman terhadap MB"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top