Info Putra Heights 2016

Patah paha di hospital

PORT DICKSON: Seorang wanita tidak menyangka tindakan suaminya mendapatkan rawatan penyakit sukar tidur malam di Wad Psikiatri Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, berakhir tragedi apabila patah tulang paha selepas terjatuh dari katil hospital, 20 Oktober lalu.
Habibah Mohd Ali, 53, berkata dia sedih kerana suaminya, Arsad Dol, 58, pergi ke hospital itu dengan harapan dapat pulih, namun kini menanggung kesakitan selain tulang paha terpaksa dimasukkan besi.

Menurutnya, dia difahamkan kejadian berlaku jam 3 pagi, 20 Oktober lalu apabila suaminya terjaga dari tidur untuk membuang air.
"Suami mengatakan keadaan wad gelap lalu memanggil jururawat membantu, namun tiada siapa datang.

"Takut terbuang air atas katil, dia memanjat katil yang mempunyai penghadang tepi sebelum terjatuh menyebabkan tulang pahanya patah," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, dia langsung tidak dimaklumkan kejadian itu oleh hospital dan mendakwa jika petugas hospital tidak lalai dan menjaga pesakit dengan baik, kejadian itu dapat dielak.
"Saya terkejut sehari selepas kejadian apabila melawat suami di wad, dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak membuatkan saya berfikir kemungkinan kejadian buruk berlaku.

"Apabila bertanyakan hal berkenaan, pihak hospital tidak mengaku dan tidak mahu bertanggungjawab. Saya kecewa dengan kejadian itu kerana suami tidak dapat bergerak dan bekerja seperti dulu," katanya.
Katanya, pesakit psikiatri memerlukan penjagaan khusus berikutan ubat dimakan kuat dan sepatutnya petugas hospital perlu lebih bertanggungjawab menjaga pesakit.

Sementara itu, Pengarah HTJS, Dr Jaafar Che Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan tindakan sewajarnya akan dilakukan dengan menghantar pesakit berkenaan untuk rawatan lanjut, sekali gus menyiasat perkara itu. Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
0 Komentar untuk "Patah paha di hospital"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top