Info Putra Heights 2016

Pakej menarik inap desa

INAP desa yang tumbuh seperti cendawan di kebanyakan tempat di negara ini kian menarik perhatian pelancong kerana mereka mahu menikmati suasana hidup dan menikmati masakan kampung.
Dengan menyediakan pakej menarik dan harga yang murah, inap desa ini menyediakan pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan serta melawat tempat menarik dan belajar cara berkebun.

Itulah antara pakej dan aktiviti yang diatur inap desa mengikut pilihan pelancong termasuk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, dekat Gua Musang.

Bermula dengan 15 homestay pada 2006, kini ada 27 rumah yang memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

Inap Desa Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru pernah memenangi beberapa pertandingan di peringkat negeri Kelantan.

Baru-baru, Program Explorace dan Jelajah Homestay Bersama Media anjuran Kementerian Pelancongan Negeri Kelantan dengan kerjasama Tourism Malaysia Kelantan berlangsung dengan meriah.

Pemilik inap desa, Wan Yusoff Wan Sulaiman berkata, minat membuka inap desa di rumahnya sejak tahun 2007 selepas mendapat pelbagai pandangan pihak tertentu khususnya Kesedar.

Malah, beliau mendapat bantuan agensi kerajaan bagi menyediakan pelbagai kemudahan supaya pelancong yang menginap di inap desanya selesa dan seronok.

Dia melabur RM40,000 dengan menyediakan empat bilik sebelum diubah suai dengan memperluaskan ruang tamu dan landskap bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Kami bersyukur kerana program inap desa ini semakin mendapat sambutan berikutan promosi hebat dari Kesedar, Kementerian Pelancongan Malaysia serta Tourism Malaysia dengan menyediakan pelbagai pakej menarik," katanya.

Penyelaras Inap Desa Renok Baru, Mohd Khairudin Abu Bakar berkata, selain pelancong dalam negara, ramai pelancong luar termasuk Jepun, Cina, Sweden, Kanada menginap di RKT Kesedar Renok Baru.

Pelancong berminat dengan pelbagai aktiviti yang disediakan selain harganya yang murah, sekitar RM55 seorang semalam, malah hidangan yang disediakan enak.

Beliau berkata, pelancong asing paling seronok apabila berpeluang mengunjungi ladang sawit, menoreh getah atau menangkap ikan.

"Kami turut menyediakan Medan Info Desa dan membawa pelancong ke kawasan air terjun Lata Jeram Pelangi, Dataran Sungai Renok dan persembahan kebudayaan," katanya.

0 Komentar untuk "Pakej menarik inap desa"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top