Info Putra Heights 2016

Nik Aziz dicabar keluar 'fatwa'

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencabar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat segera mengeluarkan 'fatwa' bagi menyokong kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar baru-baru ini.
Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim berkata, dalam 'fatwa' itu, Nik Abdul Aziz perlu menjelaskan maksud sebenar kenyataan Nurul Izzah yang mengatakan "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu."
Katanya, beliau yakin Nik Abdul Aziz akan segera mengeluarkan 'fatwa' sekiranya kenyataan seumpama itu dikeluarkan oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
 
"Jika enggan berbuat demikian, maka benarlah tanggapan bahawa pemikiran Nik Abdul Aziz telah dikawal puak Anwarinas dalam Pas dan beliau terlalu taksub dengan kuasa serta takhta politik sehingga sanggup menggunakan imej Islam sebagai topeng mencapai cita-cita dan nafsu politik.
"Beliau juga akan dilihat mengamalkan sikap double standard dalam menghadapi isu besar yang berkaitan dengan akidah umat Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Gesaan Ruslan itu ekoran kenyataan Nurul Izzah seperti dipetik laporan portal propembangkang, Malaysiakini pada 3 November yang antaranya berkata:
 
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."
 
Nik Abdul Aziz pada Sabtu lalu menyatakan beliau yakin Nurul Izzah berada di pihak yang benar apabila bertindak menyaman akhbar khususnya 'Utusan Malaysia' yang memetik laporan Malaysiakini berhubung kenyataan kontroversi berkenaan.
Ruslan menambah, Nik Abdul Aziz perlu membuat kenyataan terbuka kepada media berhubung kenyataan Nurul Izzah itu.
"Perkasa yakin Nik Abdul Aziz akan membuat pendirian sama seperti pendirian yang telah beliau lakukan selaku Mursyidul Am Pas dalam isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang diperjuangkan oleh Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dahulu," katanya.
 
0 Komentar untuk "Nik Aziz dicabar keluar 'fatwa'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top