Info Putra Heights 2016

Lord's Tailor taja sut Chong Wei

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menggayakan sut rekaan butik pakaian formal lelaki terkemuka tanah air, Lord's Tailor sempena majlis perkahwinannya pada 9 dan 10 November ini.Pengarah Urusan Lord's Tailor, Liew Lee Lee berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dapat menaja sut perkahwinan buat Chong Wei yang telah menjadi pelanggan mereka sejak beberapa tahun lalu.
 
"Ia merupakan satu penghormatan buat kami (Lord's Tailor) kerana diberi peluang menaja sut buat Chong Wei.
"Kami juga menaja sut untuk ahli keluarga Chong Wei pada majlis resepsi yang bakal berlangsung selama dua hari nanti," kata Lee Lee kepada pemberita ketika Chong Wei hadir pada sesi mencuba sut tersebut di butik mereka di Kompleks Beli Belah Bangsar semalam.
 
Antara nama-nama besar yang pernah menggayakan rekaan Lord's Tailor ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pereka kasut terkenal negara, Datuk Jimmy Choo selain selebriti Hollywood, Mel Gibson.
Chong Wei yang hadir tanpa ditemani bakal isterinya yang merupakan bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo semalam mencuba beberapa sut yang direka khas untuk dirinya.
 
Menurut Lee Lee, Chong Wei akan menggayakan empat pasang sut rekaan Lord's Tailor yang menggunakan fabrik berjenama Dormeuil dari Perancis.
"Kami memilih jenama Dormeuil kerana fabriknya sangat unik dan jenama-jenama antarabangsa yang lain tidak memiliki fabrik seperti ini. Ia dibuat daripada bulu (wool) dan gabungan kain sutera.
"Chong Wei telah memilih empat warna untuk sut yang akan dipakainya iaitu putih, perak, kelabu dan biru," kata Lee Lee yang mendedahkan bahawa sepasang sut tersebut berharga kira-kira RM5,000.
 
Tambah beliau, Chong Wei juga akan menggayakan baju tradisional masyarakat Cina (Tong Chong) rekaan butik tersebut bagi majlis minum teh.
"Adalah suatu yang menyeronokkan apabila dapat bekerjasama dengan Chong Wei.
"Dia tahu apa yang dimahukannya. Dia memberitahu bahawa dia mahu sut yang menampakkan dirinya muda dan dinamik," tambah Lee Lee yang yakin ke semua sut Chong Wei akan siap pada 6 atau 7 November ini.
Majlis resepsi perkahwinan Chong Wei berlangsung dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
0 Komentar untuk "Lord's Tailor taja sut Chong Wei"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top