Info Putra Heights 2016

Lelaki diarah bayar bekas isteri RM19 juta

London: Seorang ahli perniagaan Arab Saudi diarah membayar £4 juta (RM19 juta) dan £150,000 (RM734,623) setahun bagi tempoh sepanjang hayat kepada bekas isterinya selepas hakim mendapati wanita berkenaan layak meneruskan kehidupan mewah selepas bercerai.

Wanita terbabit, 45, yang juga dilahirkan di Arab Saudi, mengalami masalah kemurungan teruk, menyembunyikan diri dari dunia luar dan tinggal di kediamannya bernilai £2.5 juta (RM12.25 juta) bersama kucingnya.

Beliau menuntut bayaran sebanyak £7 juta (RM34.3 juta) tetapi bekas suaminya, yang digambarkan sebagai kaki perempuan ketika muda, berkata beliau tidak mampu membayar jumlah itu dan tidak sepatutnya diarahkan berbuat demikian.


Tawar beri kediaman

Lelaki berusia 48 tahun berkata beliau tidak sepatutnya dipaksa terbabit dalam prosiding mahkamah negara asing tetapi menawarkan untuk memberikan kediaman di London berharga £2.5 juta kepada isterinya dan £1.5 juta (RM7.35 juta) tunai selain membayar sebanyak £10,000 (RM49,000) sebulan untuk meneruskan hidup.

Hakim bersetuju dengan bayaran sekali gus berjumlah £4 juta tetapi menaikkan elaun kepada £150,000 setahun untuk perbelanjaan wanita berkenaan termasuk membeli pakaian, melakukan rawatan kecantikan, membayar pembantu rumah dan menjaga haiwan peliharaan.

Menganggarkan pendapatan tahunan lelaki berkenaan melebihi £500,000 (RM2.4 juta), hakim berkata pendedahan mengenai masalah kewangannya adalah menyedihkan dan menuduh beliau menggunakan wang sebagai bentuk senjata dalam perceraian. - Agensi

0 Komentar untuk "Lelaki diarah bayar bekas isteri RM19 juta"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top