Info Putra Heights 2016

Kumpulan Islam tawar bantu AS

ISLAMABAD - Amerika Syarikat (AS) semalam menolak tawaran bantuan daripada pemimpin radikal sebuah kumpulan Islam selepas taufan Sandy melanda negara itu pada Isnin lalu.
Pemimpin kumpulan Lashkar-i-Taiba, Hafiz Muhammad Saeed menawarkan untuk menghantar sejumlah kakitangan kecemasan dan bekalan kemanusiaan ke wilayah yang teruk dilanda taufan tersebut.
 
Menurut kumpulan itu, bantuan tersebut akan dihantar menerusi badan kebajikannya, Jamatud Dawah (JuD).
Bagaimanapun, kedutaan AS di sini menolak untuk menerima tawaran tersebut.
Penolakan itu dibuat di akaun Twitter.
"Kami menghormati tradisi orang Islam membantu manusia yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun, kami tidak dapat menerima tawaran Hafiz.
"Hafiz dikehendaki kerana terlibat dalam serangan pengganas di Mumbai yang menyebabkan 116 orang terbunuh.
"JuD pula ialah pertubuhan pengganas yang disenaraikan AS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata kedutaan AS.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan memberi reaksi balas menerusi Twitter.
"Bantuan kami ditawarkan untuk penduduk AS, kami akan melibatkan penduduk Islam di AS untuk berada di barisan depan bagi membantu rakan senegara mereka," kata kumpulan tersebut.
 
Hafiz disyaki pihak berkuasa AS dan India merancang serangan pengganas di Mumbai pada 2008.
Sementara itu, harga minyak meningkat di pasaran New York ekoran taufan tersebut.
Harga penghantaran untuk minyak mentah pada bulan Disember naik 48 sen (RM1.46) kepada RM86.16 (RM262.443) setong.
Presiden AS, Barack Obama semalam turut membatalkan parti Halloween bersama kanak-kanak di White House, Washington.
Beliau akan melawat kawasan yang teruk dilanda kemusnahan akibat taufan itu.
Pada tahun lalu, Obama dan isterinya, Michelle menjadi tuan rumah kepada 2,000 kanak-kanak untuk meraikan parti tersebut.
Obama juga akan menangguhkan kempen pilihan raya presiden selama beberapa hari bagi memberi tumpuan terhadap kerja-kerja membantu dan membaiki kerosakan akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.
Pilihan raya presiden akan diadakan pada 6 November ini.
 
Obama akan menentang pencabarnya daripada parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts.
Bagaimanapun, Romney menyambung semula kempennya di Miami semalam selepas terjejas akibat taufan tersebut yang melanda Pantai Timur AS.
Beberapa ahli ekonomi menyatakan kerugian akibat taufan tersebut ialah antara AS$30 bilion (RM91.39 bilion) hingga AS$50 bilion (RM152.33 bilion). - Agensi
0 Komentar untuk "Kumpulan Islam tawar bantu AS"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top