Info Putra Heights 2016

Kos ambil amah mungkin naik

PUTRAJAYA - Kos pengambilan pembantu rumah Indonesia mungkin dinaikkan berbanding RM4,511 yang dipersetujui Malaysia dan Indonesia sebelum ini susulan rasa tidak puas hati agensi pembantu rumah kedua-dua negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, agensi terbabit mendakwa jumlah ditetapkan itu tidak menguntungkan mereka jika dibanding dengan kadar di negara lain di rantau ini.

"Kami minta mereka berbincang sesama sendiri dan usulkan kos realistik kepada kami.

"Kita tidak tahu meningkat berapa banyak. Biar mereka cadangkan kadar baru dulu. Tetapi ada bayar sehingga RM12,000 dan RM13,000 untuk mendapatkan pembantu rumah asing. Kita harap tidak setinggi itu," katanya.

Katanya, wakil agensi kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa bersama Malaysia-Indonesia pertengahan bulan ini bagi membincangkan isu itu.

Katanya, Indonesia lebih suka menghantar pembantu rumah mereka ke negara menawarkan gaji tinggi seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Timur Tengah.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.  - Bernama

0 Komentar untuk "Kos ambil amah mungkin naik"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top