Info Putra Heights 2016

Kerajaan disaran kaji semula cadangan selaras premium insurans kenderaan

KUALA LUMPUR: Kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum kerajaan melaksanakan penyelarasan kadar premium insurans kenderaan bermotor, kata Presiden Persatuan Wakil Insurans Am Malaysia (PERWAKIM), Athi Rao.

Beliau berkata, penyelarasan itu hanyalah satu penyelesaian jangka pendek kerana sistem pengurusan tuntutan pada masa ini masih belum dapat diselia dengan baik.
"Walaupun premium dinaikkan, tetapi jika pengurusan tuntutan tidak dilihat semula, keadaan akan jadi sama seperti sekarang. Kami sarankan syarikat insurans berhati-hati dalam mengendalikan tuntutan. Pada kami, kalau premium dinaikkan ia akan lebih membebankan pengguna," katanya kepada pemberita di sini.


Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, pakej penyelarasan kadar premium insurans kenderaan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini hingga 2015 supaya tidak membebankan pemiliknya.

Athi berkata, proses kawal selia yang tidak efisyen menyebabkan jumlah tuntutan menjadi lebih tinggi kerana ia membabitkan beberapa faktor luaran termasuk bayaran kepada orang tengah.

Beliau berkata, kenaikan kadar premium bukan satu keperluan pada masa ini kerana industri tidak berada dalam keadaan kritikal seperti yang didakwa.

"Rekod kutipan premium motor pada tahun 2011 adalah sebanyak RM6.3 bilion dan bayaran untuk baik pulih motor adalah RM4.7 bilion. Ini termasuk RM600 juta tuntutan bagi kes kecurian," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah bayaran itu adalah bersamaan 76 peratus daripada kutipan keseluruhan yang mana baki 24 peratus adalah keuntungan syarikat.

Katanya, PERWAKIM tetap menyambut baik hasrat kerajaan menambah baik industri insurans tetapi mencadangkan supaya satu perbincangan diadakan dengan wakil industri supaya dapat menghasilkan keputusan yang memberi manfaat kepada semua.
0 Komentar untuk "Kerajaan disaran kaji semula cadangan selaras premium insurans kenderaan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top