Info Putra Heights 2016

Kamera AES diletak di 'kawasan hitam'

Kuala Lumpur: Semua 831 lokasi pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) disahkan sebagai kawasan hitam atau kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi di negara ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jaafar Mohamed kepada BH semalam, sekali gus menafikan dakwaan lokasi pemasangan kamera itu sengaja diwujudkan untuk memerangkap pengguna jalan raya.
Beliau berkata, senarai kawasan berbahaya itu diperoleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Daripada senarai itu, mereka lakukan penyelidikan dan mengenal pasti 831 lokasi yang dianggap paling kritikal kerana kadar kemalangan yang lebih tinggi berbanding kawasan lain, katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas keraguan sesetengah pihak mengenai pemilihan lokasi pemasangan kamera berkenaan yang dikatakan hanya bertujuan memerangkap pengguna jalan raya.

Jaafar berkata, walaupun kawasan itu dikenal pasti oleh MIROS, pemilihan akhir dilakukan kerajaan selepas mengambil kira laporan kadar kemalangan yang disediakan oleh PDRM.

Jadi dakwaan lokasi itu direka untuk memerangkap pengguna jalan raya supaya disaman memang tidak tepat dan sangat tidak berasas.
Semua maklumat itu dibuat berdasarkan data kemalangan dari simpanan PDRM, katanya.

Pemasangan kamera AES sehingga kini mendapat maklum balas negatif dari orang ramai walaupun keberkesanannya dalam mengurangkan kemalangan dan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya telah terbukti.

Satu kajian keselamatan jalan raya peringkat global yang dijalankan oleh Perancis mendapati penggunaan kamera AES mampu mengurangkan kadar kemalangan sehingga 48 peratus berbanding negara yang tidak menggunakan sistem itu.
0 Komentar untuk "Kamera AES diletak di 'kawasan hitam'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top