Info Putra Heights 2016

Bisnes Dunia: HTC, Apple berdamai

Capai persetujuan perjanjian lesen paten 10 tahun

Peneraju pengeluaran telefon pintar Taiwan, HTC berkata, ia sudah mencapai persetujuan global dengan gergasi teknologi Apple sekali gus menamatkan pertelingkahan perundangan di antara kedua-kedua syarikat itu.

"Persetujuan itu termasuk perjanjian pelesenan paten selama 10 tahun," kata HTC dalam kenyataannya tanpa memberikan butiran lebih lanjut.


"HTC gembira kerana telah dapat menyelesaikan pertelingkahan dengan Apple. Selepas ini, kami boleh memberi tumpuan kepada inovasi," kata Ketua Eksekutif HTC, Peter Chou dalam kenyataannya di Taipei, semalam.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata pihaknya gembira kerana dapat mencapai kata sepakat dengan HTC dan menyatakan akan terus memberi tumpuan kepada inovasi produk.

HTC dan Apple terbabit dalam lebih 20 kes di seluruh dunia termasuk yang masih tertangguh membabitkan Suruhanjaya Dagangan Antarabangsa (ITC) di Amerika Syarikat (AS), demikian mengikut pegawai HTC yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Banyak gergasi teknologi telah mengambil tindakan undang-undang paten antara satu sama lain.
Apple menuduh HTC dan pembuat telefon pintar lain yang menggunakan sistem operasi mudah alih Android Google melanggar paten ciptaan Apple.

Petanda positif

"Ini sememangnya perkara positif untuk HTC terutama ketika ia sedang mengalami penurunan jualan," kata Mars Hsu dari Grand Cathay Securities.

Katanya, berbeza dengan tindakan undang-undang antara Apple dan Samsung yang lebih memberi tumpuan kepada dakwaan melanggar hak reka bentuk, saman terhadap HTC lebih berkaitan pelanggaran teknologi.

Apple memenangi perintah daripada ITC AS Disember lalu yang mengeluarkan 'perintah pengecualian terhad' dengan mengeluarkan arahan kepada HTC supaya tidak membawa masuk telefon pintarnya yang melanggar paten ke AS berkuat kuasa 19 April ini.

Pendapatan HTC menurun

Pada Mei lalu, syarikat telekomunikasi Sprint berkata ia terpaksa menangguhkan pelancaran telefon pintar Android daripada HTC selepas peranti itu disekat kastam AS berikutan penguatkuasaan yang dikeluarkan itu.

Untung bersih HTC bagi tiga bulan sehingga September menurun 79.1 peratus berbanding setahun lalu kepada Tw$3.9 bilion (RM411 juta), penurunan mendadak daripada Tw$18.64 bilion (RM1.97 bilion).

Jumlah pendapatannya ialah sebanyak Tw$70.2 bilion (RM7.41 bilion), menepati unjuran yang dikeluarkan sebelum ini antara Tw$70 bilion hingga Tw$80 bilion.
Jumlah pendapatan itu menandakan penurunan mendadak 48 peratus berbanding tahun lalu sebanyak Tw$135.82 bilion (RM 14.33 bilion).

Dalam beberapa siri tindakan undang-undang antara kedua-dua syarikat itu, HTC pada Julai berkata, ia telah menyaman Apple di mahkamah daerah di Florida tetapi enggan mengulas lanjut kerana kes itu telah memasuki prosiding perundangan formal. - AFP

0 Komentar untuk "Bisnes Dunia: HTC, Apple berdamai"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top