Info Putra Heights 2016

AEON beli Carrefour

KUALA LUMPUR – Syarikat peruncitan utama Jepun, AEON Co Ltd. (AEON) mengambil alih operasi Carrefour Malaysia (Carrefour) melibatkan 26 buah unit pasar raya besar melalui penjenamaan semula sebagai AEON Big Malaysia dengan harga belian sebanyak 15.1 bilion yen (RM575.5 juta).
Usaha itu sekali gus mengangkat AEON sebagai kumpulan peruncitan kedua terbesar di Malaysia.
AEON menandatangani perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih kesemua saham anak syarikat operasi pasar raya besar Carrefour Malaysia, Magnificent Diagraph Sdn. Bhd. (MD) dan Carrefour Malaysia Sdn. Bhd. yang mempunyai 9.3 peratus hak pengundian dalam MD, daripada Carrefour S.A. dan anak-anak syarikatnya.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan ASEAN AEON, Nagahisa Oyama (gambar kecil) berkata, AEON, di bawah pelan pengurusan jangka sederhana bagi tempoh tiga tahun sehingga tahun 2013, menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang di China dan ASEAN.
"Malaysia dilihat mampu menjadi hab perniagaan bagi mengembangkan operasi AEON sedia ada kerana negara ini menjadi kawasan pertembungan ekonomi dan pengangkutan yang penting bagi rantau ini.
 
"Sehubungan itu, kami mengambil keputusan menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kumpulan AEON di ASEAN untuk mengurus operasi perniagaan syarikat di rantau ini," katanya pada sidang akhbar ketika membentangkan strategi perniagaan AEON di sini semalam.
AEON pada masa ini beroperasi di enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Kemboja.
AEON, dalam laporan Reuters pada 20 September lalu, telah menafikan bahawa mereka sedang mengadakan perbincangan bagi memperoleh perniagaan Carrefour di Malaysia.
 
Laporan itu turut menyatakan bahawa penjualan tersebut akan melibatkan transaksi berjumlah RM960 juta.
Bagaimanapun, pembelian saham yang dimuktamadkan pada 31 Oktober lalu itu telah menamatkan spekulasi itu.
Menurut Oyama, pengambilalihan itu dibiayai secara tunai dan menjangkakan ia tidak memberi kesan kepada keadaan kewangan AEON.
"Susulan usaha ini, kami merancang membuka 100 buah premis perniagaan menjelang tahun 2020 dengan pelaburan mencecah 300 bilion yen (RM11.5 bilion)," katanya sambil memaklumkan pengambilalihan Carrefour Malaysia tidak menjejaskan pekerja sedia ada.
0 Komentar untuk "AEON beli Carrefour"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top