Info Putra Heights 2016

50 pemain Felda berguru di Cardiff

MIMPI menjadi kenyataan.
 
Itu yang dinikmati 50 pemain bola sepak remaja terdiri daripada anak-anak keluarga peneroka Felda seluruh negara yang akan menjalani latihan pendedahan di Akademi Bola Sepak Cardiff City di Wales bermula 15 November ini.
Mereka akan berada di sana selama tiga minggu bagi mendalami pengetahuan dalam sukan bola sepak.
Program ini diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau melancarkan Liga Bola Sepak 1Malaysia- Cardiff City (Liga 1MCC) di ibu negara April lalu.
 
Ketika melancarkan liga tersebut, Najib mencadangkan agar pemain muda ini dihantar berguru di bumi Eropah dalam usaha memperkasakan sukan bola sepak negara pada masa hadapan.
Daripada 50 pemain terbabit, 17 orang adalah pemain Akademi Bola Sepak Felda manakala baki 33 lagi dipilih dalam kalangan anak peneroka di Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Terengganu.
Sebelum berlepas ke Cardiff, mereka telah menjalani latihan orientasi selama lima hari di Bangi.
Menemani mereka ke Cardiff ialah seorang guru serta dua orang jurulatih daripada Akademi Bola Sepak Felda termasuk beberapa orang pegawai Felda dan 1MCC.
 
Ketika berada di sana kelak, mereka akan mengadakan latihan bersama pemain remaja daripada Akademi Bola Sepak Cardiff City selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan.
Mereka juga akan dibawa melihat Stadium Cardiff City serta diberi taklimat mengenai cara sesebuah pasukan bola sepak profesional diuruskan.
 
Pengerusi 1MCC, Datuk Chan Tien Ghee berkata, program tersebut bertepatan dengan visi Cardiff City iaitu 'bola sepak adalah untuk semua'.
Menerusi program seperti ini, mereka berpeluang untuk mengenal pasti bakat baharu pada peringkat akar umbi yang akan dibentuk untuk menjadi pemain yang lebih berwibawa pada masa akan datang.
"Saya berbangga kerana kumpulan pertama terdiri daripada 50 pemain ini akan menikmati pendedahan yang berguna sepanjang berada di Cardiff.
 
"Mereka akan melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan kami berharap pendedahan ini akan terus melonjakkan semangat mereka untuk menjadi pemain serba boleh pada masa akan datang," kata Tien Ghee.
0 Komentar untuk "50 pemain Felda berguru di Cardiff"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top