Info Putra Heights 2016

Tukang urut ghaib 2 jam

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penjaga sebuah pusat rawatan refleksologi di Taman Usahawan, Kepong, di sini, cuba memperdaya sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya yang menyerbu premis itu selepas dikesan menawarkan khidmat pelacur warga asing dengan menyamar sebagai pelanggan gagal apabila ditahan, awal pagi semalam.
Tembelang lelaki berusia 47 tahun itu selama hampir dua jam selepas pusat refleksologi itu diserbu kira-kira jam 1 pagi terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu menunjukkan dia bertugas di bahagian kaunter.

Timbalan Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki terbabit memberi kerjasama dan mendakwa dirinya adalah pelanggan sebelum diarah berhimpun bersama seorang lagi pelanggan untuk pemeriksaan.
"Sebaliknya, kami menahan seorang tukang cuci di pusat ini selepas mengesyaki dia yang mengendalikan operasi perniagaan.

"Bagaimanapun, identiti siapa penjaga sebenar terbongkar selepas kami meneliti rakaman CCTV sebelum serbuan dilakukan bagi mengesan tukang urut warga asing yang menawarkan seks berikutan tidak menemui seorang pun daripadanya dalam premis itu," katanya.

Nik Shahanizam berkata, mulanya anggota penguat kuasa gagal menemui tukang urut wanita terbabit walaupun sudah menggeledah seluruh genap ruang pusat refleksologi itu. yang menyediakan 10 bilik mengurut.
"Kami turut mencari jika terdapat ruang sulit atau pintu khas dalam pusat urut tapak kaki ini termasuk lubang pada siling yang dibuat bagi memudahkan tukang urut wanita warga asing itu melarikan diri kerana ketika serbuan premis ini kosong.

"Berdasarkan rakaman CCTV, kami lihat ada ramai tukang urut terbabit dalam premis, tetapi mereka seakan ghaib dan kami gagal menahan merekaAda kemungkinan mereka mendapat tahu mengenai serbuan ini dan sempat bersembunyi," katanya.
Menurutnya, seramai 30 penguat kuasa tidak berputus asa dan meneruskan pencarian sehingga keseluruhan bangunan premis setinggi empat tingkat itu walaupun terpaksa beberapa kali turun naik tangga dan memanjat sehingga aras bumbung bangunan yang menempatkan tangki air.

"Kami hampir buntu mencari selepas pemeriksaan di beberapa unit kediaman di tingkat atas pusat ini yang dikatakan dijadikan penginapan tukang urut wanita warga asing juga gagal menemui mereka.

"Namun, selepas berusaha hampir dua jam, kami berjaya menemui 10 tukang urut wanita warga China berusia lingkungan 20 hingga 30-an apabila mereka sendiri keluar dari tempat persembunyian di satu daripada unit kediaman yang sudah diperiksa kerana menyangkakan penguat kuasa sudah pulang," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tukang urut wanita terbabit gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah menyebabkan semuanya ditahan dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya bagi proses dokumentasi dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan penyalahgunaan permit kerja, tinggal melebihi tempoh ditetapkan selain tidak mempunyai dokumen lengkap.

"Kami turut merampas satu beg mengandungi kondom yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran, di samping mengambil keterangan daripada dua pekerja pusat urut tapak kaki ini dan dua pelanggan bagi membantu siasatan," katanya.
0 Komentar untuk "Tukang urut ghaib 2 jam"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top