Info Putra Heights 2016

Toyota Camry 2.5V

PERSAINGAN bagi segmen D atau sedan eksekutif tidak pernah sesengit sekarang. Jika dahulu cuma ada beberapa pengeluar yang memonopoli, namun keadaan itu sudah berubah apabila kek pasaran mula dikongsi oleh pendatang baharu.
Paling ketara pastinya pembuat dari Korea seperti Kia menerusi model Optima K5 dan Hyundai Sonata. Pasaran kemudian bertambah meriah dengan tawaran daripada pengeluar Eropah termasuklah Volkswagen (Passat), Peugeot (508) dan Ford Mondeo.
Tahu bahawa sasaran pembelinya daripada golongan berduit, maka setiap pengeluar cuba untuk meletakkan pelbagai elemen seperti prestasi, ciri keselamatan, kemewahan, keselesaan dan pengendalian dalam satu pakej.
 
Menarik atau tidak pakej itu kemudian banyak bergantung kepada kekuatan jenama, harga dan rasa percaya orang ramai terhadap produk tersebut.
Di pasaran tempatan, ranking untuk sedan segmen D dikuasai oleh Toyota Camry. Dengan jualan mencecah 97,000 unit sejak dipasarkan pada tahun 1994, Camry menjadi pilihan utama orang Malaysia mulai tahun 2006.
Situasi itu tidak hanya berlaku di Malaysia. Camry mendapat sambutan hangat di pasaran besar seperti di Amerika Syarikat (AS). Malah, rekodnya lebih baik apabila menduduki tempat nombor satu sejak tahun 1997 sehingga sekarang (kecuali tahun 2001).
Mungkin ada yang bertanya, apa yang bagus sangat tentang Toyota Camry sehinggakan ia mampu mengekalkan popularitinya walaupun diasak oleh model-model sekelasnya yang menawarkan harga lebih rendah dengan ciri lebih banyak?
Jawapannya, Camry mempunyai nama yang kuat. Maksudnya, orang membeli Camry bukan kerana ciri atau harga semata-mata. Tetapi kerana tahu Camry terbukti daripada aspek kualiti, keselesaan dan memang boleh diharap.
 
Kombinasi berjaya
Nyata ia kombinasi yang berjaya buat Camry. Namun begitu, Toyota sudah mulai merasai bahang persaingan. Jadi, Camry generasi ketujuh serba baharu itu menjadi taruhan.
 
Selain menerima banyak perubahan daripada segi penampilan luaran dan dalaman, Camry juga kembali dipasang di kilang Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) milik pengedar kenderaan jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota).
Camry ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0 E, 2.0G dan 2.5V. Saya memandu uji model paling premium, 2.5V yang lengkap dengan aksesori tambahan seperti aerokit dan pakej DVD-AVN.
 
Sedan tersebut dipasang dengan enjin bersesaran 2.5 liter, menggantikan enjin 2.4 liter sebelum ini. Dengan janaan kuasa mencecah 181PS dan tork 231NM, tugas menggerakkan jentera itu memang mudah.
Pemanduan juga lancar apabila ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Super ECT. Sebelum ini, Camry menggunakan kotak gear konvensional lima kelajuan. Kelancaran kotak gear itu memang terserlah, silap-silap anda boleh menyatakan bahawa ia transmisi CVT.
Memandu Camry baharu, perkara yang anda akan perasan adalah ruang kabinnya yang lebih senyap. Duduk di belakang, ia memang sesuai untuk bos-bos kerana ia begitu selesa. Ruang kepala dan kakinya luas. Corong pendingin hawa pada konsol tengah pula memastikan udara sejuk sampai dengan pantas ke bahagian belakang.
 
Bidai pada cermin belakang juga boleh dikawal secara elektrik. Tempat duduk dan panel sisi yang dibalut dengan kulit berwarna beige menawarkan ambien mewah. Seperti biasa, terdapat kemasan kayu pada papan pemuka. Saya tidak suka, tetapi pasti ramai yang boleh menghargainya.
Menjadi varian tertinggi dalam keluarga Camry, model 2.5V memiliki pelbagai ciri yang tiada pada versi lebih murah. Paling ketara adalah kewujudan skrin sentuh bersaiz 6.1 inci yang memaparkan navigasi GPS, pemain DVD dan kamera mengundur.
Camry baharu turut dipertingkatkan dari segi kualiti pemanduan. Memandangkan profil pemandunya bukan terdiri daripada pemandu rali, jadi pengendalian agak memuaskan jika anda tidak menekan keras pedal minyak ketika mengambil selekoh. Jika tidak, olengan tubuhnya boleh dirasa dengan agak ketara.
Bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpangnya, sedan itu dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif. Pertama, Camry telah pun melepasi penilaian binaan Toyota yang dikenali sebagai Global Outstanding Assessment (GOA).
 
Cakera breknya juga lebih besar bagi memberikan kuasa membrek lebih baik. Terkandung dalam sistem brek itu pastinya ABS dengan EBD dan BA.
Cuma, apa yang mengejutkan adalah tindakan Toyota mengeluarkan sistem kawalan kestabilan elektrik (ESC). Sedangkan sistem yang dipanggil oleh Toyota sebagai Vehicle Stability Control (VSC) itu ada dipasang pada Camry 2.4V. Sekali fikir, tindakan tersebut memang satu langkah ke belakang.
 
Ketika persoalan itu ditimbulkan kepada Ketua Jurutera Pasukan Perancangan Produk, Toyota Motor Corporation, Michihiko Sato menjelaskan bahawa kewujudan beg udara, kerangka tegar yang menepati piawaian GOA dan pelbagai ciri keselamatan lain sudah cukup untuk menjadikan Camry sebuah sedan yang selamat.
Jika dinilai kembali, tiada apa yang kurang pada varian tertinggi Camry itu. Cuma, harga yang diminta oleh UMW Toyota iaitu RM180,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans) mungkin agak sukar dipercayai oleh ramai orang.
Tetapi, jika anda perlukan sebuah sedan eksekutif dan tidak mahu pening-pening dengan nilai jualan semulanya, Camry adalah satu pilihan yang baik.
0 Komentar untuk "Toyota Camry 2.5V"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top