Info Putra Heights 2016

Telefon bimbit bendung malaria

PENYEBARAN penyakit malaria di Kemboja mengundang keresahan dalam kalangan rakyat mereka khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil.
Sebagai usaha menangani masalah itu, kawasan Phnom Dambang yang terletak di sempadan Thailand, kini menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) bagi melaporkan kes malaria. Ia memudahkan pakar perubatan memantau dan bertindak ke atas pesakit yang memerlukan.
Ketua kampung sebuah daerah di kawasan itu, Long Vuthy, 41, menjadi individu yang bertanggungjawab ke atas sistem yang diperkenalkan kerajaan Kemboja itu.
"Malaria mampu membunuh orang dalam sekelip mata sekiranya kami tidak menerima rawatan khusus. Cara yang diperkenalkan ini diharapkan dapat membantu komuniti di sini," luah Vuthy yang diajar menggunakan servis itu dua bulan lalu oleh pihak Konsortium Malaria, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang bekerja bersama kerajaan Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sebagai amaran, papan tanda berwarna kuning yang menunjukkan gambar nyamuk turut dinaikkan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kadar kes malaria membimbangkan.
 
Vuthy diamanahkan melakukan diagnosis penyakit menerusi ujian darah ke atas mereka yang menunjukkan simptom malaria. Perkhidmatan rawatan oleh sukarelawan perubatan yang disediakan juga percuma memandangkan kesukaran akses perubatan di kawasan pedalaman.
Selain memastikan pesakitnya mengambil pil dengan betul, pemeriksaan susulan selepas tiga hari dijalankan bagi memeriksa kandungan darah bagi menentukan sama ada mereka telah bebas daripada parasit. Pesakit yang masih belum sembuh akan dirujuk kepada pakar perubatan bagi rawatan lanjut.
 
Hantar maklumat
Sistem SMS tersebut mudah. Jika ujian diagnosis Vuthy menunjukkan seorang pesakit menghidap malaria, dia perlu memberi rawatan awal kepada mereka. Kemudian, maklumat berkaitan usia, jantina, lokasi dan jenis malaria pesakit akan dihantar menerusi SMS.
SMS yang menggunakan nombor bebas tol itu dihantar kepada pusat kesihatan daerah, pegawai rasmi kesihatan kawasan dan diterima pangkalan data kebangsaan di ibu negara, Phnom Penh. Dahulu, proses penyampaian maklumat itu mengambil masa selama sebulan.
Informasi itu juga dihubungkan dengan Google Earth bagi memudahkan kerja pemetaan kes dan mengenal pasti kawasan-kawasan panas yang berpotensi diserang malaria.
 
Kesimpulannya, data tersebut membantu pegawai perubatan mengesan setiap kes dan memastikan rawatan sewajarnya disediakan atau ubat-ubatan yang betul dibekalkan segera apabila stok berkurangan.
Kemboja dilihat berjaya dalam menangani isu malaria. Berdasarkan statistik mereka pada tahun 2011, sebanyak 108,000 kes dilaporkan dengan 96 kes melibatkan kematian berbanding 102,473 kes dengan 154 kematian pada tahun 2010. Ia jauh berbeza dengan tahun 2000 yang mencatatkan lebih 600 kematian.
Keupayaan malaria melepasi sebarang bentuk rawatan biasa telah disahkan di Kemboja sejak lapan tahun lalu. Ini berikutan prosedur rawatan salah atau rawatan tidak lengkap yang dijalani pesakit terhadap ubat-ubat antimalaria.
Bagi mengelakkan masalah sama berulang, pengamal perubatan perlu mengenal pasti kes pada peringkat awal bagi membolehkan pesakit mengikuti pelan rawatan yang tepat.
 
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), malaria telah membunuh kira-kira 655,000 orang di seluruh dunia pada tahun 2010 walaupun kadar kematian telah menurun sejak beberapa dekad lalu.
Para penyelidik beranggapan, penurunan tinggi itu disebabkan pertambahan penggunaan ubat jenis artemisinin, rawatan paling efektif setakat ini. Ia juga didorong pengagihan kelambu yang telah disembur racun serangga oleh kerajaan Kemboja.
Sementara itu, dalam kajian yang dijalankan para saintis antarabangsa di antara tahun 2007 sehingga 2010, 42 peratus kes malaria falciparum dikenal pasti kalis ubat. Perkara itu turut diterbitkan dalam jurnal kesihatan, The Lancet, pada tahun ini.
 
Sasaran tahun 2025
Timbalan Pengarah Pusat Kebangsaan bagi Parasitologi, Entomologi dan Kawalan Malaria, Meas Tha menyatakan, pendekatan teknologi dalam pengurusan malaria mampu mencapai sasaran pada tahun 2025. Di samping itu, usaha pendidikan tentang pencegahan dan rawatan giat dijalankan.
Ia adalah sebahagian daripada projek pembendungan malaria yang dibantu oleh Dana Global dan mendapat sokongan daripada Yayasan Bill and Melinda Gates. Sebanyak US$30 juta (RM91.8 juta) telah dilaburkan sejak tahun 2010.
Sistem tersebut yang menggunakan kad SIM yang disediakan secara percuma oleh syarikat telekomunikasi Kemboja, Mobitel, dilancarkan di tiga kawasan pada tahun lalu sebelum dikuatkuasakan di Pailin pada Julai lalu. - AFP
0 Komentar untuk "Telefon bimbit bendung malaria"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top