Info Putra Heights 2016

Tekad akhiri penantian 46 tahun

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) berazam menamatkan penantian 46 tahun untuk layak ke final Piala Malaysia 2012.
Sebagai rekod, kali terakhir ATM mara ke pentas final Piala Malaysia ialah pada edisi 1966 yang ketika itu dikenali sebagai Piala H.M.S. Malaya.
Berdasarkan prestasi semasa, Presiden Persatuan Bola Sepak ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Yakin yakin skuad kendalian B. Sathianathan itu mampu beraksi di pentas final di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober ini.
Bagaimanapun, ATM terlebih dulu harus melepasi ujian getir apabila berdepan dengan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.
 
Zulkifeli berkata, anak-anak buah Sathianathan mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke final berbekalkan kelebihan satu gol tempat lawan selepas terikat 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Jumaat lalu.
"Namun, saya tidak mahu pemain kita mengambil mudah semasa beraksi malam esok," kata Panglima ATM itu kepada pemberita pada majlis makan tengah hari bersama skuad ATM di Shah Alam semalam.
Mengulas mengenai ganjaran sekiranya ATM layak ke final, Zulkifeli berkata, beliau tidak mahu juara Liga Perdana itu memikirkan perkara tersebut.
"Saya tidak menafikan bahawa ganjaran itu adalah penting tapi bagi pihak pengurusan, kita akan beri ganjaran semampu mungkin walaupun kita tidak berjanji mengenai bentuk ganjaran tersebut," katanya.
 
Sementara itu, Sathianathan meminta setiap pemainnya mempamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan impian mara ke pentas final.
"Kita tidak boleh dibuai dengan keputusan seri tempoh hari kerana apa yang penting sekarang ialah setiap pemain memberi fokus sepenuhnya pada perlawanan esok," katanya.
"Secara peribadi, saya gembira jika dapat membantu ATM menjulang Piala Malaysia buat kali pertama," katanya yang pernah membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010.
Selangor akan menentang Kelantan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam malam esok.
0 Komentar untuk "Tekad akhiri penantian 46 tahun"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top