Info Putra Heights 2016

Tangkap ular sawa tiga meter bawah kontena

KUALA LUMPUR: Seekor ular sawa sepanjang tiga meter ditemui di bawah sebuah kontena di Jalan Khatib Koyan, Kampung Baru, di sini, Isnin lalu.
Reptilia berkenaan ditemui penduduk sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Penduduk, Rohany Mohd Darus, 71, berkata, sebelum ini haiwan liar seperti ular jarang dilihat di kawasan itu, bagaimanapun sejak beberapa projek pembangunan termasuk lebuh raya dibina di situ, haiwan berkenaan dipercayai cuba mencari perlindungan di kawasan kampung.
"Anak saya pernah tangkap tiga ular sawa dan digigit ketika cuba melawan reptilia itu," katanya. Seorang lagi penduduk, Umar Hamid, 75, berkata, sejak kawasan itu didatangi spesis ular berkenaan, rumahnya tidak lagi diganggu tikus.

"Mungkin ular itu lari dari kawasan pembangunan dan mula 'berkampung' di sini kerana saya dapat lihat kesan lubang yang banyak di sepanjang tebing Sungai Bunus," katanya ditemui semalam.

Pengerusi Jiran Wanita Rukun Tetangga Hujung Pasir, Maizan Ariff berkata, dia sering menerima aduan penduduk dan berpendapat ular terbabit bersarang di rumah seorang penduduk di situ.
"Kami temui kulit ular sawa di sebuah rumah penduduk namun tidak dapat melancarkan operasi menangkap ular itu bersama JPAM kerana pemilik tiada.

"Isnin lalu ular sepanjang tiga meter ditangkap di bawah kontena dan kejadian ini menyebabkan kami berasa tidak selamat kerana kawasan ini ramai kanak-kanak dan warga emas," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, Kolonel (PA) Mohd Yusoff Samad berkata, faktor kebersihan penting di samping kesedaran awam terhadap haiwan berkenaan.

"Orang ramai perlu bertenang jika terserempak ular dan segera hubungi pihak yang sepatutnya," katanya.
0 Komentar untuk "Tangkap ular sawa tiga meter bawah kontena"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top