Info Putra Heights 2016

Selamba ludah air sireh

PUCHONG – Menjijikkan apabila warga Myanmar yang menghuni kawasan rumah kedai di sini didakwa meludah 'air merah' kunyahan sireh yang dimakan mereka merata-rata tempat sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada penduduk setempat.

Yang menjadi kemarahan penduduk, warga asing terbabit juga dikatakan sering kencing di merata-rata tempat termasuk di kawasan tangga menuju ke rumah mereka di Jalan 2/1, Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini.

Keadaan meloyakan itu menyebabkan penduduk pula mendakwa terpaksa menjadi 'kuli' membersihkan kekotoran terbabit kerana geli dan takut penyebaran penyakit berlaku.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, boleh dikatakan hampir setiap tangga mempunyai kesan air ludah berwarna merah di kawasan rumah kedai itu.

Katanya, penduduk geram kerana warga asing itu bukan meludah di longkang tetapi menjadikan dinding blok-blok kedai dan rumah sebagai tempat melampiaskan sisa kunyahan daun sireh yang dimakan mereka.

Menurutnya, teguran pernah dibuat berhubung perkara berkenaan namun ia seolah-olah seperti 'mencurah air ke daun keladi' kerana warga Myanmar langsung tidak mempedulikan soal kebersihan sebaliknya terus membuat kotor.

Katanya, perkara itu dikatakan lebih menjadi-jadi apabila terdapat lebih 10 gerai dipercayai menjual daun sireh secara haram di kaki lima kawasan kedai terbabit.

"Pergilah ke mana-mana blok di kawasan ini pasti ada terjumpa orang menjual daun sireh, masalahnya mereka yang mengunyah daun itu tidak mempunyai kesedaran sivik meludah ke dinding dan sebagainya.

"Kita pula sebagai pemilik rumah di kawasan berkenaan yang terpaksa membersihkan kawasan dinding kerana jijik melihat 'air merah' itu di sepanjang tangga," katanya yang meminta pihak berkuasa membuat pemantauan kerana tidak sanggup melihat air ludah itu di merata-rata tempat.

Penduduk, Zaki Ibrahim berkata, kadang-kadang dia berasa menyesal membeli unit rumah di kawasan itu kerana seolah-olah tinggal sekampung dengan warga Myanmar.

Katanya, warga Myanmar itu bersikap kurang ajar dan membuatkan kawasan perumahan disewa mereka seolah-olah tempat sendiri.

"Mereka meludah merata-rata lepas itu ditinggalkan begitu sahaja, yang kena mencucinya penduduk yang tinggal di sini," katanya.
0 Komentar untuk "Selamba ludah air sireh"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top