Info Putra Heights 2016

Saman PETRONAS: Mahkamah Persekutuan akan putuskan sama ada bicara penuh

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan sama ada kes saman perlanggaran kontrak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) perlu diadakan perbicaraan penuh atau diselesaikan mengikut isu perundangan.

Ia berikutan selepas mahkamah memberi kebenaran untuk mengemukakan rayuan kepada plaintif iaitu kerajaan Kelantan, selepas peguam Thommy Thomas memaklumkan kepada panel hakim lima anggota iaitu peguam yang mewakili PETRONAS dan peguam kanan persekutuan yang mewakili kerajaan tidak membantah berhubung permohonan itu.
Panel hakim lima anggota yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif juga membenarkan permohonan plaintif untuk penangguhan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu keputusan akhir rayuan mereka berhubung isu awal sebelum perbicaraan sebenar bermula.

Thommy kemudian memberitahu pemberita plaintif mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan.

Empat lagi anggota panel hakim ialah Datuk Seri Sulong Matjeraie, Datuk Ahmad Maarof, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffery Tan Kok Hwa.

Pada 26 April lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan kerajaan Kelantan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan saman itu ditentukan secara isu perundangan.

Mahkamah itu turut menolak permohonan kerajaan negeri untuk dibekalkan dokumen-dokumen kes berikutan keputusan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan pihak-pihak berkenaan terlebih dahulu meneruskan mengikut Perintah 14A Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.
Dalam saman yang dikemukakan pada 30 Ogos 2010, pihak plaintif menamakan Petronas sebagai defendan pertama.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam permohonannya untuk mencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua dalam tuntutan saman tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan Kelantan menuntut PETRONAS supaya membuat pembayaran tunggakan dan bayaran tunai seterusnya bagi petroleum dihasilkan di luar pantai Kelantan seperti ditetapkan dalam perjanjian petroleum.

Kerajaan negeri itu juga menuntut ganti rugi dan kos. Bagaimanapun ia tidak menetapkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan dimeterai pada 9 Mei 1975, jelas menyebut bahawa PETRONAS perlu membayar tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.

Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac atau pada atau sebelum 1 September.

Pada prosiding hari ini PETRONAS tronas diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham manakala Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi, mewakili kerajaan persekutuan.
0 Komentar untuk "Saman PETRONAS: Mahkamah Persekutuan akan putuskan sama ada bicara penuh "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top