Info Putra Heights 2016

Risau kesan radiasi

AMPANG: Lima kes kematian dengan satu disahkan akibat penyakit barah dalam tempoh tidak sampai dua tahun membabitkan penghuni di kediaman berhampiran pencawang telekomunikasi milik sebuah syarikat swasta mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk di Taman Bukit Teratai, di sini.
Penduduk, Chan Kong Lim, 50-an, yang kehilangan isteri akibat barah tahun lalu berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan anaknya trauma kerana bimbang turut menerima nasib sama.

"Sejak kematian isteri, saya tidak lagi menggunakan bilik utama di rumah yang bertentangan dengan pencawang telekomunikasi itu kerana takut menghidap barah kesan daripada pancaran radiasi berterusan.
"Saya sayu setiap kali melihat bilik itu kerana teringat mendiang isteri. Kehilangannya akibat barah menambah kesedihan saya kerana percaya kesan radiasi daripada pencawang terbabit antara penyebab utama isteri diserang barah," katanya.

Dia ditemui pada sesi dialog penduduk mengenai pembinaan pencawang telekomunikasi yang terlalu dekat dengan kawasan perumahan anjuran Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Ben Liew Pok Boon di Medan Selera Bukit Teratai, dekat sini, semalam.

Sesi dialog berkenaan diadakan antara sebahagian 400 penduduk yang membuat bantahan dengan wakil daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi terbabit.
Kebimbangan sama turut disuarakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Kiat, kerana beranggapan lima kematian dalam tempoh itu bukan kes terpencil dan sesuatu yang luar daripada norma kebiasaan.
0 Komentar untuk "Risau kesan radiasi"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top