Info Putra Heights 2016

Previu: Kebangkitan ATM 'lawan' kelebihan Red Warriors

KEBANGKITAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diberi jolokan 'Manchester City Malaysia', sudah pasti mengundang resah ke atas Kelantan apabila kedua-dua pasukan itu membuat perhitungan pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Segar daripada kemenangan selepas meleburkan impian pasukan pilihan, Lions XII dari Singapura di peringkat separuh akhir untuk mara ke pentas final selepas 46 tahun, ia sudah pasti memberi tonik tambahan kepada pasukan bimbingan B.

Sathianathan untuk melakar sejarah merangkul kejuaraan sulung Piala Malaysia.

Dibarisi pemain yang kerap menyarung jersi kebangsaan, ATM dilihat mempunyai kelebihan membawa pulang kejuaraan tersebut walaupun banyak pihak meramalkan Kelantan mampu menjulang Piala Malaysia musim ini.

Dalam laluan sebelum melangkah ke final, ATM mengenepikan juara bertahan, Negeri Sembilan di saingan suku akhir dengan kemenangan tipis 3-2. 

Kejayaan itu jelas menaikkan semangat pasukan tentera itu yang menunjukkan jalan keluar kepada skuad Lions XII dengan keputusan 5-4 menerusi sepakan penalti setelah terikat 1-1.

Sebelum ini, ATM juga membuktikan bahawa mereka bukan calang-calang pasukan apabila muncul juara Liga Perdana musim ini dengan rekod 71 gol dan hanya tewas dua kali.

Gandingan penyerang import Marlon Alex James dan Bruno Martelotto serta 'tuah' ketua pasukan Hairuddin Omar, ternyata memberi kelebihan kepada ATM, tambahan pula Kelantan turun tanpa 'ayam tambatan' mereka, Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad gara-gara mengutip dua kad kuning. 

Pengalaman selama setahun Sathianathan bersama Kelantan juga pasti memberi kelebihan ATM kerana sedikit-sebanyak beliau dapat mengetahui kelemahan pasukan Kelantan yang kini diterajui Bojan Hodak. 

Bekas ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan dan bawah 23 tahun Malaysia itu optimis dengan kemampuan anak didiknya merealisasikan impian ATM menjulang piala berprestij itu buat pertama kalinya. 

Jurulatih berusia 45 tahun itu tenang dan bijak dalam mengatasi tekanan yang dilaluinya dalam masa dua hari ini, malah bersikap rendah diri walaupun memiliki barisan pemain yang mampu menyekat impian Kelantan. 

"Kita hanya buat biasa sahaja namun dalam masa yang sama perlu perbaiki kelemahan yang ada sebelum turun ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini," katanya. 

Namun, atas kertas, Kelantan mempunyai kelebihan untuk melengkapkan 'treble' selepas menjuarai Piala FA dan Liga Super pada musim ini. 

Pada saingan awal Piala Malaysia, prestasi Kelantan bermula hambar setelah tumpas banyak perlawanan kerana sebahagian pemainnya dipanggil mewakili negara dalam saingan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia  (AFC). 

Namun kembali bangkit setelah pasukan dari pantai timur itu dapat menggunakan sepenuhnya khidmat barisan pemain utamanya. 

Juara Piala Malaysia edisi 2010 itu tetap mempunyai kelebihan berbanding ATM meskipun terpaksa menerima hakikat di saat gentir turun tanpa pemain utama, Mohamed Ghaddar dan Norfarhan. 

Namun bagi Bojan, ketiadaan Mohamed Ghaddar dan Norfarhan bukan satu kekurangan kerana gandingan Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha mampu merobek kubu pertahanan ATM. 

Kelebihan memiliki kombinasi pada bahagian pertahanan dan tidak bergantung kepada seorang pemain untuk meledakkan jaringan adalah antara kelebihan pasukan Kelantan
0 Komentar untuk "Previu: Kebangkitan ATM 'lawan' kelebihan Red Warriors"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top