Info Putra Heights 2016

Piala Malaysia 2012 - Kelantan ke final tanpa Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad

KUALA LUMPUR - Misi kejuaraan treble Kelantan sedikit tempang apabila terpaksa meratapi kehilangan dua tonggak di bahagian serangan, Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad pada perlawanan akhir dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu ini.
Bukan disebabkan masalah kecederaan tetapi gara-gara kutipan dua kad kuning yang membuatkan mereka berdua terpaksa digantung satu perlawanan dan terpaksa melupakan terus hasrat membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua.
 
Biarpun dapat menyingkirkan Selangor dengan penuh bergaya, nada jurulatih Kelantan, Bojan Hodak jelas sedikit resah apabila mengetahui hakikat bakal kehilangan dua tonggak penting yang membawa kemaraan pasukannya ke pentas akhir.
Mengakui terpaksa membayar harga yang mahal, ketiadaan mereka berdua bakal memberikan sedikit kesulitan kepada Kelantan dalam usaha merangkul kejuaraan ketiga selepas menjulang Piala FA dan Liga Super musim ini.
 
''Kehilangan Ghaddar dan Norfarhan memang menjadi masalah pada kami sekarang apabila sudah mengutip dua kad kuning.
''Memang benar, kami tidak berada dalam keadaan terbaik kerana kedua-dua pemain ini merupakan penjaring gol dalam dua aksi separuh akhir, " katanya yang ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, semalam.
Namun, Bojan masih tidak mahu cepat mengalah dan melaungkan keyakinan bahawa pemain lain mampu menggantikan tempat Ghaddar dan Norfarhan di posisi serangan.
''Walaupun begitu, saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan dan tetap mahu berikan persembahan terbaik ketika berdepan ATM pada perlawanan akhir nanti, " katanya.
Ketiadaan Ghaddar dan Norfarhan menjadikan pilihan Bojan di bahagian serangan kini hanya tertumpu kepada Norshahrul Idlan Talaha, Afiq Azmi, Mohd Ramzul Zahini Adnan dan Azlan Ismail.
 
Namun, Bojan juga mempunyai pilihan lain dengan meletakkan Indra Putra Mahayuddin dari bahagian tengah ke posisi penyerang.
Kelantan mara ke perlawanan akhir selepas menang secara agregat 3-0 dengan kejayaan menang 2-0 ke atas Selangor di Shah Alam hasil jaringan Mohamed Ghaddar dan Mohd Badri Mohd Radzi, lima minit sebelum perlawanan tamat.
Dalam masa sama, Bojan mengakui dia lega dengan kemenangan itu meskipun perlawanan dengan Selangor pada Jumaat lalu, bukan satu persembahan terbaik daripada skuad kendaliannya.
 
"Kami bermula dengan baik pada mulanya dan memperolehi banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
"Memang diakui, pasukan saya tidak beraksi seperti yang diharapkan namun paling mustahak adalah kemenangan pada malam ini (kelmarin)," ujarnya.
0 Komentar untuk "Piala Malaysia 2012 - Kelantan ke final tanpa Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top